Ucapan Fahmi tidak sentuh kempen PRN - Polis

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanggil lapan orang saksi berhubung penyebaran video ceramah Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah meneliti video berdurasi 12 minit tersebut yang tersebar di laman media sosial.

Beliau berkata, hasil penilitian, polis mendapati tiada sebarang ucapan menyentuh tentang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Video yang disebarkan di laman media sosial itu memaparkan ucapan Menteri (Fahmi) memberi penerangan berhubung perbuatan biadab kumpulan penyanyi The 1975 dari United Kingdom.

"Polis telah mengenal pasti pemilik akaun yang menyebarkan video tersebut dan berusaha mengesannya," katanya pada sidang akhbar pada Rabu.

Hussein berkata, tindakan lanjut sedang dilakukan oleh polis setelah nama dan alamat pemilik akaun diperoleh baru-baru ini.

Tegasnya, tindakan boleh diambil ke atas pemilik akaun tersebut kerana menyebarkan hasutan dan memberi kenyataan tidak benar.

Ditanya sama ada Fahmi sudah diambil keterangan oleh polis, beliau berkata, Menteri Komunikasi dan Digital itu masih belum dipanggil untuk tujuan tersebut.

Sementara itu, menurut beliau, sebanyak 272 laporan polis telah diterima sehingga Rabu sepanjang tempoh PRN berlangsung.

Katanya, daripada jumlah tersebut, tujuh kertas siasatan telah dibuka dan satu daripadanya dibuat sebelum hari penamaan calon.

"Ia termasuk satu kejadian mencuri bendera kempen yang berlaku di Tanjung Sepat," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!