Sah, PRK di Cameron Highlands

Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan PRK Cameroh Highlands dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, ia susulan mahkamah mengisytiharkan keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang diadakan pada 9 Mei 2018 adalah terbatal.

Begitupun, tarikh mesyuarat masih belum ditetapkan dan SPR akan memaklumkannya selepas ia diputuskan kelak.

“Sehingga tamat tempoh rayuan pada 14 Disember 2018 seperti ditetapkan Seksyen 36A Akta Kesalahan Pilihan Raya, tiada sebarang rayuan difailkan di Mahkamah Persekutuan atau dimaklumkan kepada SPR.

“Sehubungan dengan itu, selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengisi kekosongan kerusi tersebut (Parlimen Cameron Highlands) dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.

“Tarikh yang ditentukan oleh SPR adalah bermula 15 Disember 2018. Pemakluman secara rasmi akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada hari Isnin nanti.

Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lepas mengisytiharkan kemenangan BN bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU14 adalah terbatal dan tidak sah

Ia selepas mahkamah memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Hakim Datuk Azizah Nawawi memutuskan amalan rasuah terbukti telah dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan responden (Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh) dalam pilihan raya itu.

“Bagaimanapun saya tidak akan melaporkan mana-mana individu yang telah dibuktikan pada perbicaraan yang didapati bersalah melakukan amalan rasuah.

“Ia kerana ketidakkonsistenan dalam keterangan saksi pempetisyen berhubung identiti orang yang sebenarnya menyerahkan wang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata tidak dipertikaikan bahawa Orang Asli akan mengalu-alukan sebarang bantuan sama ada dalam bentuk wang tunai atau barangan daripada semua pihak termasuk pemberian mesin pemotong rumput oleh pempetisyen (calon DAP M Manogaran) sendiri.

Hakim itu seterusnya berkata bukti menunjukkan wang itu digunakan untuk perbelanjaan harian, tetapi niat penerima tidak relevan.