Wanita melecur dibakar suami

Mohd Asri menunjukkan keadaan mangsa yang melecur akibat dibakar dengan minyak petrol oleh suaminya sendiri.
Mohd Asri menunjukkan keadaan mangsa yang melecur akibat dibakar dengan minyak petrol oleh suaminya sendiri.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang wanita melecur selepas dibakar suaminya dengan menggunakan minyak petrol dalam kejadian di sebuah rumah dalam ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam selepas pasangan itu dikatakan bertengkar berikutan perselisihan faham antara mereka.

Menurutnya, ketika kejadian empat orang anak pasangan itu berada di dalam bilik sebelum mereka mendengar pertengkaran yang berlaku.

"Salah seorang anak mangsa cuba keluar bilik namun pintu ditolak dari luar. Bagaimanapun dia berjaya keluar dari bilik berkenaan tidak lama kemudian dan melihat ibunya terbakar di bahagian badan.

"Difahamkan, anak mangsa turut melihat bapanya cuba memadamkan api, namun bertindak melarikan diri apabila api pada badan mangsa semakin merebak," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Pulau Pinang, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, pihak polis yang menerima laporan kejadian berkenaan daripada jiran mangsa bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan.

Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian, polis turut menemui botol berisi minyak petrol dan pemetik api yang dipercayai digunakan suspek untuk membakar isterinya.

Beliau berkata, mangsa yang melecur 27 peratus sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Semakan yang dilakukan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan sebelum ini pernah mencederakan mangsa.

"Mereka yang telah berkahwin selama lima tahun mempunyai empat orang anak berusia antara 10 hingga 13 tahun," katanya lagi.

Beliau berkata, polis sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.