Baru bebas penjara, bekas banduan warga Taiwan diberkas lagi

Mohd Shuhaily (dua dari kiri) menunjukkan dadah serta pistol yang dirampas menerusi serbuan dan tangkapan ke atas suspek pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Isnin. - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohd Shuhaily (dua dari kiri) menunjukkan dadah serta pistol yang dirampas menerusi serbuan dan tangkapan ke atas suspek pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Isnin. - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taktik menjadikan rumah kedai sebagai lokasi penyimpanan dadah terbongkar dengan penahanan seorang lelaki warga Taiwan yang baru dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh, Februari lalu di sebuah pangsapuri di Cheras pada Khamis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek berumur 31 tahun itu diberkas menerusi operasi khas yang dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

"Pemeriksaan dijalankan terhadap suspek menemukan 10 biji pil eramin five selain ujian saringan dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek dipercayai masuk ke negara ini sejak 2016 menggunakan pas pelancong dan baru sahaja dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh atas kesalahan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2016," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

Katanya, tangkapan suspek kemudiannya membawa serbuan di sebuah rumah kedai tiga tingkat di Kajang dipercayai dijadikan stor penyimpanan dadah.

"Antara dadah yang ditemui melibatkan eramin five, methamphetamine, ekstasi, MDMA dan heroin base bernilai keseluruhan RM572,000.

"Selain itu, turut dirampas sepucuk pistol jenama Glock, kelopak peluru dan satu bekas mengandungi 30 butir peluru," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek merupakan orang suruhan kepada seorang individu warga tempatan dipercayai dalang kegiatan pengedaran dadah ini.

"Individu terbabit bagaimanapun telah dikenal pasti dan usaha mengesan sedang dijalankan.

"Modus operandi dikesan adalah kegiatan pengedaran dadah ini menjadikan rumah kedai sebagai stor penyimpanan sebelum diedarkan di pasaran," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.