Ambil tindakan pihak sunting, sebar video titah Sultan Perak

Mohamad Norriduan (dua dari kiri) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Isnin.
Mohamad Norriduan (dua dari kiri) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Pejabat Ahli Parlimen Ipoh Timur menggesa tindakan diambil terhadap pihak menyunting dan menularkan video titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah demi kepentingan politik kepartian bagi memelihara institusi diraja.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ipoh Timur, Mohamad Norriduan Mohamed Idrus berkata, titah Sultan Nazrin pada 19 Februari 2013 di Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu seharusnya tidak ditafsir sebagai menyebelahi pihak tertentu kerana institusi raja bebas dari sebarang bentuk sokongan kepada mana-mana parti politik.

Menurutnya, institusi raja perlu dikekalkan sebagai salah satu kuasa semak dan imbang terakhir serta bertindak sebagai penimbang tara apabila berlakunya pertelingkahan politik kepartian yang boleh menggugat kestabilan negara.

"Sebaran suntingan video tersebut seharusnya tidak dilakukan kerana ia jelas untuk sokongan politik bagi pihak tertentu yang dikhuatiri akan disalah tafsir oleh orang ramai seterusnya membibitkan tanggapan kurang enak terhadap institusi raja khususnya buat Sultan Perak.

"Oleh itu, saya membuat laporan supaya pihak polis dapat menyiasat perkara ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Isnin.

Pada Sabtu, Setiausaha Sulit Kanan Sultan Perak, Kolonel Norzahari Efandy Zakaria membuat laporan polis berhubung olahan satu klip video yang dibimbangi mengaitkan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi tujuan politik.

Dalam laporan di Balai Polis Travers, Brickfields, Kuala Lumpur pada Sabtu, Norzahari memaklumkan menerima klip video itu menerusi WhatsApp yang merakamkan seorang wanita memetik satu bahagian kecil titah baginda pada 2013 yang menyentuh parti Pas.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan pada jam 6.30 petang Sabtu dan memaklumkan kes masih dalam siasatan.

Semakan mendapati, wanita yang cuba mengetengahkan pandangan Sultan Nazrin terhadap Pas dalam klip video berkenaan ialah seorang pemimpin Muslimat Pas Melaka.

Wanita tersebut mengambil petikan video yang sebelum ini pernah dimuat naik di Facebook Dewan Muslimat Pas Melaka pada 11 November 2022.

Petikan video itu merupakan potongan rakaman titah Sultan Nazrin sempena Wacana Perpaduan Ummah, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Kuala Lumpur pada 19 Februari 2013.

Sultan Nazrin ketika itu ialah Pemangku Raja Perak dan bertitah mengenai isu perpaduan ummah melibatkan UMNO serta Pas sebagai dua kuasa politik Melayu dominan di negara ini.

Titah baginda, kedua-dua parti sudah hampir seimbang kuasanya, namun mengingatkan agar hak orang Melayu dan Islam tidak dipinggirkan dalam keghairahan mahu mendapatkan undi serta kuasa.

Sepanjang bertitah, Sultan Nazrin secara seimbang memuji Pas dan UMNO, selain menyentuh sejarah hubungan kedua-dua parti selari dengan titah bertajuk Perpaduan Ummah: Harapan, Realiti dan Cabaran.

Baginda turut menyampaikan hasrat bahawa jika dua kabilah politik Melayu yang saling berpengaruh iaitu Pas dan UMNO kembali bercantum seperti yang pernah berlaku di era Pas menyertai Barisan Nasional (BN), maka perpaduan ummah akan tercapai serta masalah perpecahan ummah akan selesai.

Semakan juga mendapati tiada kehadiran mana-mana pemimpin politik pada majlis tersebut selain pengurusan tertinggi DBP.

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis Perak terima 20 laporan kes tular titah Sultan Nazrin

Dewan Negara Perak kecam tindakan tular titah Sultan Nazrin

Lindungi nama baik Sultan Perak

NGO bidas parti politik guna video Sultan Perak raih undi