NGO bidas parti politik guna video Sultan Perak raih undi

Norali (tengah) bersama Presiden Kelab Bakti Gunung Keledang, Sheikh Izat Azhar Sheikh Ahmad (dua dari kiri) serta ahli-ahli NGO berkenaan membuat laporan berhubung rakaman video titah Sultan Nazrin yang tular di Balai Polis Sungai Senam di sini pada Ahad.
Norali (tengah) bersama Presiden Kelab Bakti Gunung Keledang, Sheikh Izat Azhar Sheikh Ahmad (dua dari kiri) serta ahli-ahli NGO berkenaan membuat laporan berhubung rakaman video titah Sultan Nazrin yang tular di Balai Polis Sungai Senam di sini pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Gagasan Melayu Perak (GMP) membidas tindakan parti politik menggunakan video titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada tahun 2013 yang sudah disunting untuk digunakan sebagai bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika ini.

Presidennya, Norali Nordin berkata, tindakan itu disifatkan cubaan untuk mencemar nama baik Sultan Nazrin dan institusi diraja Perak demi meraih sokongan pengundi.

Menurutnya, kedudukan institusi diraja mengatasi politik kepartian dan tidak wajar untuk mengheret istana ke kancah politik berkepentingan.

"Kita amat kecewa dengan tindakan menyebarkan video ucapan Sultan Nazrin yang telah disunting itu untuk menggambarkan kononnya Tuanku memihak kepada parti-parti tertentu. Tetapi sebenarnya ia diambil dalam konteks yang berbeza dengan titah sebenar baginda.

"GMP menegaskan, jika hendak bermain politik, jangan dikaitkan dengan sultan atau instutusi kesultanan dan jika mahu mendapatkan laba politik, gunalah cara lain, jangan mencemarkan nama Sultan Perak," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Norali berkata, pihaknya bersama sebuah lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kelab Bakti Gunung Keledang yang dinaungi Sultan Nazrin sudah pun membuat laporan polis terhadap penyebaran video berkenaan di Balai Polis Sungai Senam, di sini pada Ahad.

Menurutnya, menerusi laporan berkenaan, pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diharap dapat menyiasat dan mengambil tindakan menghentikan penyebaran video berkenaan.

Jelas beliau, rakyat Perak tidak mahu Sultan Nazrin dikaitkan dengan mana-mana parti politik kerana baginda merupakan payung bagi semua rakyat bernaung.

Pada Sabtu, Setiausaha Sulit Kanan Sultan Perak, Kolonel Norzahari Efandy Zakaria membuat laporan polis berhubung olahan satu klip video yang dibimbangi mengaitkan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi tujuan politik.

Dalam laporan di Balai Polis Travers, Brickfields, Kuala Lumpur pada Sabtu, Norzahari memaklumkan telah menerima klip video itu menerusi WhatsApp yang merakamkan seorang wanita memetik satu bahagian kecil titah baginda pada 2013 yang menyentuh parti Pas.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan telah menerima laporan pada jam 6.30 petang Sabtu dan memaklumkan kes masih dalam siasatan.

Semakan mendapati, wanita yang cuba mengetengahkan pandangan Sultan Nazrin terhadap Pas dalam klip video berkenaan ialah seorang pemimpin Muslimat Pas Melaka.

Wanita tersebut mengambil petikan video yang sebelum ini pernah dimuat naik di Facebook Dewan Muslimat Pas Melaka pada 11 November 2022.

Petikan video itu merupakan potongan rakaman titah Sultan Nazrin sempena Wacana Perpaduan Ummah, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Kuala Lumpur pada 19 Februari 2013.

Sultan Nazrin ketika itu ialah Pemangku Raja Perak dan bertitah mengenai isu perpaduan ummah melibatkan UMNO serta Pas sebagai dua kuasa politik Melayu dominan di negara ini.

Titah baginda, kedua-dua parti sudah hampir seimbang kuasanya, namun mengingatkan agar hak orang Melayu dan Islam tidak dipinggirkan dalam keghairahan mahu mendapatkan undi serta kuasa.

Sepanjang bertitah, Sultan Nazrin secara seimbang memuji Pas dan UMNO, selain menyentuh sejarah hubungan kedua-dua parti selari dengan titah bertajuk Perpaduan Ummah: Harapan, Realiti dan Cabaran.

Baginda turut menyampaikan hasrat bahawa jika dua kabilah politik Melayu yang saling berpengaruh iaitu Pas dan UMNO kembali bercantum seperti yang pernah berlaku di era Pas menyertai Barisan Nasional (BN), maka perpaduan ummah akan tercapai serta masalah perpecahan ummah akan selesai.

Semakan juga mendapati tiada kehadiran mana-mana pemimpin politik pada majlis tersebut selain pengurusan tertinggi DBP.