Terima kasih perwira negara - TPM

Ahmad Zahid mendoakan agar semoga semua perwira negara sentiasa dirahmati, diberikan kesihatan yang baik dan dilindungi daripada segala bahaya serta kemudaratan. - Foto Facebook Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid mendoakan agar semoga semua perwira negara sentiasa dirahmati, diberikan kesihatan yang baik dan dilindungi daripada segala bahaya serta kemudaratan. - Foto Facebook Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Terima kasih. Walaupun ringkas, namun ungkapan itu amat bermakna, malah tidak ternilai jika dibandingkan dengan pengorbanan perwira negara dalam melindungi kedaulatan tanah air.

Sempena Hari Pahlawan 2023 pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendoakan agar semoga semua perwira negara sentiasa dirahmati, diberikan kesihatan yang baik dan dilindungi daripada segala bahaya serta kemudaratan.

"Kepada mereka yang masih dalam tugasan di perbatasan, terima kasih saya ucapkan dan bagi yang telah tiada, didoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. InsyaAllah,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menerusi catatan di Facebook beliau.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi catatan di Facebook beliau turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas pengorbanan, jasa dan khidmat bakti pahlawan negara dalam melindungi, mempertahankan kedaulatan serta dalam menjaga keselamatan rakyat dan negara.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata, tanpa pengorbanan perwira sama ada yang telah terkorban atau masih setia berkhidmat, warga Malaysia mungkin tidak dapat menikmati keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran seperti hari ini.

"Selamat Menyambut Hari Pahlawan 2023 kepada para pejuang negara khususnya warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), terima kasih sekali lagi wira dan wirawati negara. Jasa kalian hanya Allah SWT jua yang dapat membalasnya," katanya.

Tarikh 31 Julai setiap tahun diisytihar sebagai Hari Pahlawan sempena tamatnya darurat menentang komunis pada 1960. - Bernama