Letupan di Mundok, Thailand gegarkan Bukit Lata

(Gambar kiri) Penduduk Pekan Mundok di lokasi kejadian. (Gambar kanan) Penduduk di Bukit Lata, Rata Panjang rakam asap tebal dari arah Pekan Mundok, Thailand. - Foto tular
(Gambar kiri) Penduduk Pekan Mundok di lokasi kejadian. (Gambar kanan) Penduduk di Bukit Lata, Rata Panjang rakam asap tebal dari arah Pekan Mundok, Thailand. - Foto tular
A
A
A

RANTAU PANJANG - [DIKEMAS KINI] Letupan seakan-akan bom yang dipercayai berlaku di Mundok, Thailand telah menggegarkan kawasan sekitar Bukit Lata di sini.

Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu dikatakan telah menyebabkan beberapa rumah penduduk di sini mengalami kerosakan seperti cermin tingkap dan pintu pecah serta siling rumah runtuh.

Penghulu Mukim Siram, Zamri Yahya ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mengakui terkejut dimaklumkan penduduk yang mendakwa ia berpunca daripada letupan sebuah stor di negara jiran.

"Saya sempat melihat kepulan asap tebal dari arah gudang berkenaan yang terletak tidak jauh dari rumah," katanya.

Pintu rumah penduduk di Bukit Lata tercabut akibat gegaran yang kuat.
Pintu rumah penduduk di Bukit Lata tercabut akibat gegaran yang kuat.

Menurut beliau, kejadian terbabit didakwa turut mengakibatkan beberapa buah rumah penduduk di sini terjejas.

Zamri berkata, beliau akan turun untuk melihat dan membuat bancian berhubung kejadian itu pada malam ini.

Sementara itu, seorang penduduk yang dikenali sebagai Along berkata, kedudukan rumahnya dengan Pekan Mundok hanya dipisahkan dengan Sungai Golok sekitar 20 meter.

"Disebabkan itulah kami terkesan dan bunyi letupan tersebut sangat kuat serta menghasilkan asap tebal," katanya.

Selain di Bukit Lata, Kejadian itu turut dirasai di kawasan pekan Rantau Panjang.

Terdahulu, kejadian itu telah tular di aplikasi WhatsApp apabila ia dikongsi oleh orang ramai.