Pemandu terjun lori, tinggalkan muatan rokok lebih RM1.1 juta

Wan Jamal Abdul Salam (dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas.
Wan Jamal Abdul Salam (dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas.
A
A
A

RANTAU PANJANG - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu lori bertindak terjun dari kenderaannya yang sedang bergerak untuk melarikan diri daripada ditahan penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan di Gunung Bachok, Sabtu lalu.

Suspek lelaki berusia 30-an itu bertindak sedemikian selepas menyedari lori lima tan yang dipandunya diekori pihak berkuasa sejauh 20 kilometer pada jam 5 pagi.

Pengarah Kastam Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, sebelum itu sepasukan anggota dan pegawai Cawangan Risik Zon Timur, Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang menjalankan risikan dan intipan ke atas lori berkenaan di kawasan Melawi, Bachok.

“Semasa anggota mengekori suspek, secara tiba-tiba suspek terjun dari lori dan melarikan diri ke arah semak berhampiran di kawasan gunung dalam keadaan cuaca gelap.

“Anggota segera berlari ke arah lori yang ditinggalkan dalam keadaan bergerak perlahan itu dan masuk ke tempat duduk pemandu untuk menghentikan kenderaan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JKDM di sini pada Ahad.

Kotak-kotak berbalut plastik berisi rokok dipercayai diseludup menggunakan jalan air.
Kotak-kotak berbalut plastik berisi rokok dipercayai diseludup menggunakan jalan air.

Menurut beliau, suspek yang melarikan diri belum dapat dikesan dan pemeriksaan yang dilakukan pihaknya di dalam ruangan simpanan barangan lori itu menemukan kotak-kotak berisi rokok seludup keseluruhannya berjumlah 1.7 juta batang rokok.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori jenis Isuzu Hicom tersebut menjumpai rokok dianggarkan bernilai RM591,500 atau dengan nilai cukai berjumlah RM1.1 juta di pasaran tempatan.

“Lori ini turut dirampas untuk siasatan dan usaha menjejaki suspek diteruskan bagi mengesan pemilik barang tersebut,” ujarnya.

Wan Jamal Abdul Salam berkata, modus operandi yang digunakan penyeludup ialah membawa rokok tidak bercukai itu di dalam kotak dan dibalut dengan plastik bagi mengelak basah dengan menggunakan laluan laut dan pesisir pantai.

Wan Jamal Abdul Salam (kiri) memeriksa lori yang digunakan oleh suspek untuk membawa rokok seludup.
Wan Jamal Abdul Salam (kiri) memeriksa lori yang digunakan oleh suspek untuk membawa rokok seludup.

Katanya, rokok dari negara jiran itu dibawa masuk untuk pasaran di Lembah Klang, Selangor.

“Mereka ini menggunakan kapal besar di tengah-tengah laut dan kemudian memunggah rokok dengan bot-bot kecil ke pantai sebelum membawa dengan lori menggunakan jalan darat untuk edaran.

“Pihak berkuasa bagaimanapun sentiasa menghidu kelicikan mereka bagi mengekang kegiatan penyeludupan selain meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan untuk tindakan lanjut,” kata beliau.