Dadah RM3.3 juta dirampas, sindiket sorok dalam pek sabun basuh pakaian

Zazuli (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Pelabuhan sepanggar, Kota Kinabalu.
Zazuli (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Pelabuhan sepanggar, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Taktik menyembunyikan dadah dalam bungkusan sabun pencuci pakaian gagal mengaburi mata pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) apabila syabu yang dihantar melalui kontena berjaya dirampas di Pelabuhan Sepanggar, Rabu lalu.

Syabu seberat lebih 101 kilogram itu dirampas pada jam 5 petang menerusi satu serbuan terhadap sebuah kontena yang baru tiba dari Pelabuhan Klang, Selangor.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kontena dan menemui sembilan kotak mencurigakan yang disyaki mengandungi dadah dialamatkan ke sebuah kondominium mewah di ibu negeri ini.

"Semua dadah jenis methampetamine seberat lebih 101 kilogram itu disembunyikan di dalam bungkusan serbuk pencuci.

"Dadah yang mampu menampung keperluan sekurang-kurangnya 500,000 penagih dianggarkan bernilai RM3.36 juta,” katanya pada sidang akhbar yang dijalankan di Wisma Penguatkuasaan JKDM Sabah, pada Ahad.

Zazuli berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat namun usaha mengesan pengirim dan penerima sedang giat dijalankan.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup," katanya.

Sementara itu, Zazuli berkata, sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, JKDM Zon Sabah berjaya merampas keseluruhan lebih 224.861 kilogram dadah bernilai hampir RM10 juta termasuk rampasan kali ini.

"Rampasan membabitkan empat jenis dadah iaitu methamphetamine, ketamin, ganja, ekstasi dan daun ketum," katanya.