Pelancaran Akademi Industri peringkat nasional Selasa ini - Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Ekonomi akan melancarkan projek rintis Akademi Industri peringkat nasional pada Selasa ini sebagai usaha kerajaan untuk melaksanakan reformasi pasaran buruh dalam negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pihaknya berjaya menarik minat 200 syarikat pengilang antarabangsa bagi membuka ruang kepada belia khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melibatkan diri dalam sektor pembuatan dan perkilangan sebagai pekerja berkemahiran tinggi.

Beliau berkata, ia juga bertujuan bagi menangani isu berbangkit berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti tempoh pengajian yang panjang, tidak menamatkan pengajian dan minat semakin berkurang terhadap bidang berkenaan.

"Dalam tempoh dua bulan lepas kita mendapatkan syarikat kebanyakannya ialah syarikat pengilang antarabangsa yang akan memberi peluang kepada syarikat ini mengambil, melatih pekerja kemudian disijilkan dalam tempoh 18 bulan.

"Kalau kita tidak lakukan sesuatu kreatif ini akan ada kesan lebih parah kepada negara jadi kita yakin sebenarnya, terutama kepada belia tidak ada kelulusan. Lepasan SPM di negara kita hanya sekitar 30 peratus sahaja yang melanjutkan pelajaran, 70 peratus kekal dengan SPM jadi mereka ini nak buat apa, kita kena buka dan bawa mereka masuk ke dalam sektor pembuatan dan perkilangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah pada Program Jelajah Madani di pekarangan Pusat Perniagaan Taman Megaway, malam tadi.

Ahli parlimen Pandan itu berkata, kerajaan juga bercadang meluaskan inisiatif berkenaan melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) supaya sijil diperoleh menerusi Akademi Industri dapat diiktiraf dan para peserta boleh melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah.

"Insya-ALLAH ia akan melibatkan kerjasama IPT supaya ada aliran daripada sijil ke diploma dan ijazah, selepas ini lepasan sekolah ada dua pilihan, pergi ke universiti dan belajar kemudian cari kerja atau masuk industri terus bekerja dan disijilkan sehingga mendapat ijazah melalui aliran ini," katanya. - Bernama