Macau Scam: Pensyarah diperdaya kes dadah

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang pensyarah sebuah institut pengajian tinggi awam di sini kerugian RM30,400 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

Mangsa yang berusia 36 tahun sebelum ini menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat kurier.

Wanita itu memberitahu terdapat bungkusan dadah atas nama mangsa yang dihantar ke rumah beralamat di Seremban.

Mangsa menafikannya dan panggilan itu disambungkan kononnya kepada pegawai polis yang menyatakan terdapat kes dadah dan pengubahan wang haram atas nama mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, akibat takut ditangkap, mangsa telah membuat tiga transaksi pindahan wang yang kesemuanya berjumlah RM30,400 mengikut nombor akaun yang diberikan.

"Wang tersebut kononnya dipindahkan ke akaun pegawai juruaudit Bank Negara Malaysia bagi tujuan siasatan sebagaimana diarahkan suspek.

"Mangsa hanya sedar ditipu setelah memaklumkan perkara tersebut kepada suaminya dan diberitahu pemanggil tersebut adalah scammer,” katanya ketika dihubungi di sini.

Noorzainy berkata, mangsa yang menyedari terperangkap dengan sindiket penipuan itu tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Noorzainy menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket.

"Jangan sesekali mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan.

“Kes berkenaan kini dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.