Israel usir 15 keluarga Palestin di Lembah Jordan

Kereta kebal Israel dibawa masuk ke Lembah Jordan sebagai persiapan latihan ketenteraan yang dijalankan di kawasan itu.
Kereta kebal Israel dibawa masuk ke Lembah Jordan sebagai persiapan latihan ketenteraan yang dijalankan di kawasan itu.
A
A
A

RAMALLAH - TEBING BARAT. Pihak berkuasa Israel memaksa 15 buah keluarga Palestin keluar dari rumah mereka di utara Lembah Jordan semalam.

Arahan itu dikeluarkan bagi membolehkan rejim Zionis menjalankan latihan ketenteraan di kawasan tersebut.

Penyelaras Jawatankuasa Anti Penempatan, Mutaz Bisharat berkata, majoriti penduduk yang terlibat ialah wanita dan kanak-kanak.

"Sebanyak 15 buah keluarga terdiri daripada 98 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dipaksa meninggalkan perkampungan Al-Fawqa.

"Arahan itu meminta penduduk keluar dari rumah mereka empat hari dalam tempoh seminggu sepanjang empat minggu akan datang.

"Mereka diminta keluar pada pukul 1 petang pada Ahad, 4 petang pada Isnin, 10 pagi pada hari Selasa dan dari 7 pagi hingga 2 petang pada Rabu," katanya.

Penduduk Palestin di Lembah Jordan kerap berdepan gangguan akibat latihan ketenteraan Israel yang diadakan berhampiran dengan tanah mereka. Situasi itu menjejaskan kehidupan harian penduduk terutama petani yang bergantung sepenuhnya kepada hasil pertanian.

Difahamkan, daerah Tubas di Lembah Jordan merupakan salah satu daripada kawasan pertanian terpenting di Tebing Barat. - Agensi

Artikel Berkaitan: