Serangan 'paling ganas' Israel di Tebing Barat tempoh 20 tahun

Seorang warga Palestin mempamerkan sepanduk bertulis 'Jenin: Kemarahan dan api' semasa demonstrasi di Kota Gaza menentang serbuan Israel yang berlaku di Jenin pada Isnin. - Foto EPA
Seorang warga Palestin mempamerkan sepanduk bertulis 'Jenin: Kemarahan dan api' semasa demonstrasi di Kota Gaza menentang serbuan Israel yang berlaku di Jenin pada Isnin. - Foto EPA
A
A
A

RAMALLAH/GAZA - Letupan besar kedengaran dari semasa ke semasa di kem pelarian Jenin di utara Tebing Barat, dengan kepulan asap hitam menyelubungi di kebanyakan kawasan, ketika pertempuran sengit berlaku antara pejuang Palestin dan tentera Israel.

Tentera Israel melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran di Jenin tatkala subuh hari Isnin. Sumber keselamatan Palestin memberitahu Xinhua bahawa tentera Israel menyerbu bandar itu dari arah yang berbeza, mengepung kem, merampas beberapa bangunan dan kediaman, selain menempatkan penembak hendap di atas bumbung.

Operasi ketenteraan itu disifatkan yang paling ganas sejak 2002, dengan serangan udara intensif menyasarkan bangunan, menyaksikan berpuluh-puluh pejuang Palestin berbalas tembakan dengan tentera Israel, kata penduduk dan pegawai keselamatan.

Video yang tular di media sosial menunjukkan serangan udara itu menyebabkan kerosakan terhadap bangunan dan markas yang didakwa tentera Israel merupakan milik kumpulan pejuang Palestin.

Dalam satu kenyataan akhbar, tentera Israel berkata, pihaknya mengebom markas komando yang menempatkan tempat pertemuan, depoh senjata dan pusat komunikasi, sambil menambah bahawa tapak yang disasarkan terletak berhampiran dua sekolah dan pusat perubatan.

Pejuang Palestin dalam reaksi balas berkata: "mereka terlibat dalam pertempuran bersenjata dengan tentera Israel, meletupkan alat letupan berkuasa tinggi dan menembak jatuh tiga dron yang terbang di ruang udara kem".

Radio Israel melaporkan, lebih 1,000 tentera telah menyertai operasi itu.

Sementara itu, jurucakap tentera Israel berkata: "tentera tidak berhasrat untuk menduduki kem pelarian Jenin, tetapi operasi ini menyasarkan kumpulan pengganas”.

Tentera Israel menahan pejuang dan merampas banyak peranti letupan yang disimpan untuk pertempuran, menurut jurucakap itu.

Saksi kejadian berkata, beberapa keluarga pelarian melarikan diri ke pusat bandar atau kawasan lain, ekoran bimbang serangan akan terus memuncak.

Seorang pemuda yang tinggal di kem pelarian, Ramzi, memberitahu Xinhua, kem itu terdedah kepada kejadian umpama "gempa bumi".

Ramzi juga sedang siap sedia untuk melarikan diri bersama ahli keluarganya.

Menteri Kesihatan Palestin Mai Al-Kaila menuduh tentera Israel menghalang petugas perubatan daripada memasuki kem pelarian untuk membawa mangsa yang cedera ke hospital, manakala Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin merayu diberikan laluan yang dijamin selamat untuk memindahkan mangsa yang cedera dari kem.

"Ambulans sukar untuk membawa mangsa yang cedera," keluh seorang pemandu ambulans.

Kementerian Penerangan Palestin berkata, petugas media juga tidak terkecuali menjadi sasaran, dikepung dan ditembak, selain peralatan mereka dibakar.

Jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rudeineh, mengutuk tindakan Israel itu yang disifatkannya sebagai "jenayah perang terhadap orang yang tidak berdaya".

Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin, Hussein Al-Sheikh, berkata pencerobohan itu "bakal mengheret rantau itu ke dalam kancah keganasan dan ketidakstabilan".

Sementara itu, dalam satu kenyataan, anggota kanan Jihad Islam di Gaza, Daoud Shihab, memberi amaran bahawa lebih banyak kesengsaraan akan terjadi andai pencerobohan tidak dihentikan, sambil menyeru pengantara, termasuk Mesir, Qatar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk campur tangan segera sebelum terlambat.

Di Gaza City, berpuluh-puluh rakyat Palestin mengibarkan bendera Palestin di dataran Unknown Soldier untuk membantah operasi ketenteraan Israel di Jenin.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, operasi terbaharu itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin terbunuh dan kira-kira 80 lagi cedera, termasuk 17 kritikal. - Bernama/Xinhua