Malaysia kutuk tindakan Israel bunuh orang awam di Tebing Barat

Wisma Putra.
Wisma Putra.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan ganas dan pembunuhan orang awam di Tebing Barat, berikutan peningkatan keganasan yang terkini.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Jumaat menyatakan bahawa pada prinsipnya Malaysia menggesa agar perbuatan tersebut dikekang dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk meredakan ketegangan.

"Malaysia amat bimbang dengan peningkatan insiden maut di Tebing Barat di mana berlaku kehilangan nyawa dan ramai lagi yang cedera.

"Pertempuran di Jenin pada 19 Jun 2023 yang secara langsungnya berpunca daripada serangan terbaharu tentera Israel terhadap rakyat Palestin di kawasan yang diduduki. Serbuan ini secara terang-terangan tidak menghiraukan dan tidak menghormati hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk menuntut Israel menghentikan segala tindakan provokatif, tindakan unilateral dan kekejaman yang berterusan terhadap orang awam yang tidak bersalah, demi kepentingan keamanan dan kestabilan.

"Malaysia berpegang teguh dengan pendirian bahawa rakyat Palestin berhak mendapat hak mereka untuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” menurut kenyataan Wisma Putra itu. - Bernama.