Maqis rampas 28 tan daging ayam cuba diseludup

Pegawai Maqis memeriksa kotak berisi ayam sejuk beku dipercayai cuba diseludup di Pelabuhan Pasir Gudang. - Foto: Maqis
Pegawai Maqis memeriksa kotak berisi ayam sejuk beku dipercayai cuba diseludup di Pelabuhan Pasir Gudang. - Foto: Maqis
A
A
A

PASIR GUDANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas 1,840 kotak berisi daging ayam sejuk beku dipercayai cuba diseludup di Pelabuhan Pasir Gudang pada Khamis lalu.

Pengarah Maqis Johor, Edie Putra Md Yusof berkata, kesemua kotak seberat 28 tan (27,520 kg) yang dianggarkan bernilai RM289,386 itu dipercayai dibawa masuk dari China tanpa sebarang dokumen.

"Hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, satu pemeriksaan telah dibuat oleh pegawai penguatkuasa Maqis bersama pasukan penguatkuasaan Kastam pada Khamis jam 5 petang mendapati terdapat sebuah kontena membawa daging ayam yang disyaki cuba dibawa masuk (ke Malaysia) tanpa sebarang dokumen.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang label yang diletakkan pada 1,840 kotak daging ayam terbabit manakala hasil pemeriksaan pada dokumen pula, konsainan tersebut tiada sebarang dokumen seperti Permit Import Maqis, Sijil Kesihatan Veterinar dan Sijil Halal,"katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebahagian daripada 1,840 kotak berisi daging ayam sejuk beku dipercayai cuba diseludup di Pelabuhan Pasir Gudang pada Khamis lalu.
Sebahagian daripada 1,840 kotak berisi daging ayam sejuk beku dipercayai cuba diseludup di Pelabuhan Pasir Gudang pada Khamis lalu.

Beliau berkata, perbuatan itu menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3) Akta yang sama.

Tambahnya, jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,

Sementara itu, Edie Putra berkata, Maqis sentiasa bersedia dalam melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi pertanian yang masuk ke negara ini mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

Katanya, semua ini bertujuan memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat digunakan.