Penyakit kardiovaskular menyebabkan negara kerugian RM4 bilion

Dr Wan Azman (dua dari kiri), Dr Kar Chai (tengah), Dr Kui Hian (dua dari kanan) pada perbincangan mengenai peningkatan beban penyakit kardiovaskular di Malaysia.
Dr Wan Azman (dua dari kiri), Dr Kar Chai (tengah), Dr Kui Hian (dua dari kanan) pada perbincangan mengenai peningkatan beban penyakit kardiovaskular di Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyakit kardiovaskular (CVD) yang semakin membimbangkan telah menyebabkan negara kerugian produktiviti tahunan anggaran sehingga RM4 bilion.

Menurut kenyataan Universiti Monash dan Institut Jantung Victoria Monash (VHI), ia susulan kos rawatan CVD yang mencecah hampir RM3.9 bilion setiap tahun dan menyumbang lebih daripada 40 peratus jumlah kos penjagaan kesihatan langsung untuk penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Kadar kelaziman penyakit dan kematian berkaitan CVD yang membimbangkan ini bukan hanya memberi kesan kepada pesakit dan keluarga mereka, tetapi juga mengakibatkan beban ekonomi yang tidak mampan kepada negara,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, penyakit CVD juga meragut satu nyawa bagi setiap 30 minit.

"Sehingga 2019, empat daripada 10 orang dewasa di Malaysia mengalami hiperkolesterolemia, tiga daripada 10 mempunyai masalah hipertensi, dan satu daripada lima menghidap diabetes mellitus.

"Rekod Pangkalan Data Penyakit Kardiovaskular Kebangsaan – Sindrom Koronari Akut (NCVD-ACS) menunjukkan 25 peratus pesakit berumur bawah 50 tahun dan Malaysia sedang menuju ke arah populasi semakin menua itu turut menjadi faktor pertambahan risiko CVD," kata kenyataan itu.

Oleh demikian, pakar berpendapat bahawa kerajaan dan barisan penjaga kesihatan perlu memandang serius perkara tersebut serta berusaha mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi penyakit yang semakin meningkat.

Tambah kenyataan itu, langkah yang perlu diambil dalam menangani epidemik CVD ialah mengukuhkan intervensi sedia ada dan pada masa sama melaksanakan intervensi baharu.

“Bagaimanapun, di sebalik usaha bersepadu untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai CVD, masih terdapat halangan besar untuk mengubah persepsi dan memberi inspirasi kepada masyarakat agar bergerak untuk mengambil tindakan. Ini menjadi penghalang dalam memerangi pembunuh senyap ini.

“Sebagai contoh, ramai pesakit tidak sedar bahawa mereka mengalami masalah kolesterol kerana ia tidak menunjuk gejala yang ketara dan hanya boleh dikesan melalui pemeriksaan atau saringan kesihatan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Kardiologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Datuk Dr Wan Azman Wan Ahmad berkata, masyarakat perlu mengubah sikap terhadap kepentingan mengawal kolesterol bagi mencegah penyakit berkaitan jantung.

Jelasnya, ini kerana ramai pesakit berhenti mengambil ubat kolesterol selepas 15 bulan apabila telah tiada gejala ketara dan beranggapan bahawa tahap kolesterol dalam keadaan terkawal.

“Mereka tidak menyedari bahawa tahap kolesterol yang baik itu sebenarnya adalah hasil daripada pengambilan ubat,” katanya.

Menurut Ahli Majlis Penasihat bagi Kertas Putih Kesihatan, Dr Koh Kar Chai, sektor swasta menghadapi cabaran apabila pesakit mempunyai persepsi sendiri mengenai kesihatan sehingga mengabaikan temu janji selepas mendapatkan rawatan primer.

Jelasnya, pengesanan awal adalah amat penting untuk mengawal faktor-faktor risiko penyakit tersebut.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dato Seri Dr Sim Kui Hian pula berkata, ramai pesakit memilih untuk tidak meneruskan pengambilan ubat kerana bimbang kesan sampingan terutama ubat seperti statin.

“Keputusan untuk tidak meneruskan rawatan itu menyebabkan tahap kolesterol yang tidak terkawal yang secara langsung meningkatkan risiko penyakit CVD. Oleh kerana itu, perubatan alternatif perlu diterokai,” ujarnya.

Oleh demikian, menurut kenyataan itu, usaha untuk memotivasi pesakit supaya aktif dalam pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan bimbingan daripada anggota penjagaan kesihatan adalah sangat penting.

“Merawat kolesterol dengan pendekatan yang holistik juga sangat penting, yang merangkumi pemantauan, pengubahsuaian gaya hidup dan ubat-ubatan.

“Bahkan, sudah tiba masanya untuk mengkaji kaedah kawalan kolesterol yang lebih berkesan, seperti terapi kombinasi yang membabitkan gabungan ubat dan suntikan,” katanya.