The 1975 pulang ke UK enam jam selepas konsert - Ayob Khan

Ayob Khan - Foto Bernama
Ayob Khan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tuduhan pihak tertentu bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak cekap menangani isu melibatkan kumpulan The 1975 yang melakukan aksi tidak senonoh di pentas Good Vibes Festival, Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini, disifatkan tidak benar dan berat sebelah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kumpulan terbabit pulang ke negara mereka selepas enam jam membuat persembahan di negara ini iaitu pada jam 5.30 pagi, 22 Julai.

Menurutnya, tindakan jelik dilakukan oleh ahli kumpulan muzik tersebut dibuat jam 11.30 malam pada 21 Julai, namun laporan polis diterima keesokannya pada 22 Julai jam 2 petang.

"PDRM tidak sempat untuk mengambil sebarang tindakan kerana kumpulan The 1975 itu telah pulang ke UK awal pagi pada 22 Julai.

"Namun PDRM telah menerima 18 laporan polis berhubung kes tersebut iaitu lapan laporan di Selangor dan selebihnya dari luar.

"Sebanyak 13 rakaman percakapan telah diambil iaitu enam daripada pengadu, satu daripada pihak penganjur serta enam daripada Agensi Pusat Permohonan Pengambaran dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspa)," katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bendera sempena Kejohanan World Police and Fire Games (Winnipeg) 2023 yang bakal berlangsung di Kanada bermula 28 Julai hingga 6 Ogos ini.

Hadir sama, Chef De Mission Kontinjen PDRM ke Kanada, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dan Pengarah Pengurusan, Datuk Azmi Abu Kassim merangkap Pengerusi Majlis Sukan PDRM.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, PDRM menasihatkan agar pihak penganjur dan Puspa lebih berhati-hati dalam membawa masuk artis dari luar supaya kejadian seumpama itu tidak lagi berulang.

Ini kerana katanya, terdapat beberapa lagi persembahan artis luar negara dijangka berlangsung di Malaysia.

Ditanya sama ada PDRM akan memohon pihak polis antarabangsa (Interpol) membantu dalam kes The 1975, Ayob berkata, perkara itu tidak akan melibatkan pihak penyiasatan antarabangsa terbabit.

Ini kerana menurutnya, ia bukan kes berlaku di luar negara dan tidak melibatkan kes seperti penculikan atau pembunuhan.

"Kes ini disiasat bawah Seksyen 504 dan 509 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, maka kita akan hanya berurusan dengan pihak berkuasa UK sekiranya pendakwaan dilakukan ke atas The 1975.

"Oleh yang demikian, PDRM berharap Puspa akan melihat secara keseluruhan artis atau kumpulan penyanyi yang akan membuat persembahan di negara ini selepas ini, kerana mereka ini (Puspa) yang akan membuat sebarang keputusan," ujarnya.

Sementara itu, mengulas isu bom yang diletakkan pada kereta peguam Siti Kassim, Ayob berkata, polis telah menerima 12 keterangan daripada mangsa, mekanik, pemilik bengkel, pegawai keselamatan, orang awam dan pihak Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Malah kata beliau, penelitian dan semakan pada litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian telah dilakukan oleh polis.

Sehubungan itu menurutnya, pihak polis kini dalam proses mengesan suspek.

"Setakat ini, polis tidak menerima sebarang laporan yang dibuat berkaitan dengan ugutan ke atas mangsa (Siti).

"Namun kajian terperinci dilakukan kerana ada laporan awal daripada unit bom PDRM menyatakan terdapat elemen kebakaran termasuk petrol di lokasi kejadian," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Aksi biadab The 1975 undang kemarahan orang ramai

Aksi sangat biadab The 1975: Polis panggil penganjur

The 1975 biadab di Malaysia, perlu tindakan tegas - Mohd Na'im

Aksi jelik kumpulan The 1975, penganjur diminta bertanggungjawab

Tiga laporan polis diterima berhubung kumpulan The 1975

The 1975 disenarai hitam buat persembahan di Malaysia

Konsert The 1975 di Indonesia, Taiwan dibatal serta-merta

'Haramkan The 1975 masuk ke Malaysia' - Dr Akmal

Pejuang persoal kelulusan permit persembahan The 1975

Kerajaan patut tolak kehadiran The 1975 lebih awal - Hamzah

Umat Islam tonton konsert The 1975 dinasihat mohon keampunan ALLAH

Henti konsert The 1975 bukti kerajaan tegas - Penganalisis

Aksi sangat biadab The 1975: Pengunjung boleh tebus tiket kemasukan

Aksi sangat biadab The 1975: Fahmi minta penganjur Good Vibes Festival 2023 beri penjelasan