Buaya baham mangsa kurang aktif, perut besar kekenyangan - JHL

JHL Tawau akan mengenal pasti ciri-ciri buaya yang membaham mangsa terlebih dahulu sebelum menembak reptilia berkenaan.
JHL Tawau akan mengenal pasti ciri-ciri buaya yang membaham mangsa terlebih dahulu sebelum menembak reptilia berkenaan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau akan mengenal pasti ciri-ciri buaya yang membaham mangsa terlebih dahulu sebelum bertindak menembak reptilia berkenaan.

Pegawai JHL Tawau, Primus Lambut berkata, perkara pertama dilakukan ialah mengenal pasti bahawa mangsa benar-benar dibaham buaya atau sebaliknya.

"Kemudian, kenal pasti sama ada kawasan itu direkodkan sebagai habitat buaya dan pemantauan dibuat untuk mencari buaya pemangsa dalam kes berkenaan.

"Pemantauan biasanya dilakukan pada waktu malam mendapati sekitar 10 hingga 12 ekor buaya berada di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan warga net bagaimana pasukan JHL mengenal pasti buaya yang sebenar membaham warga emas dalam kejadian di sungai Kampung Mas-Mas Nasib Kita di Tawau pada Ahad.

Primus berkata, pihaknya akan mencari buaya yang bersaiz besar berdasarkan jarak mata haiwan berkenaan.

Katanya, lazimnya buaya yang telah membaham manusia mempunyai saiz perut besar.

"Jika haiwan itu kenyang, perutnya kelihatan besar dan biasanya ia kurang aktif untuk bergerak. Haiwan ini akan berada di satu tempat kerana kekenyangan dan ia tidak aktif atau agresif menyerang untuk mencari makanan.

"Haiwan ini juga tidak akan bergerak jauh dari lokasi ia menyerang mangsa.

"Jadi, berdasarkan ciri-ciri itu kita berjaya menembak buaya yang tepat yang telah membaham mangsa hanya sekitar 1.5 kilometer dari lokasi kejadian," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menolak pendapat sesetengah pihak bahawa buaya yang kenyang tidak timbul di permukaan air atau di tebing sungai.

"Haiwan ini juga tenggelam di dalam air dan tidak semestinya terus berada di permukaan atas air cuma ia kurang aktif untuk bergerak.

"Ketika buaya itu ditembak, pemantauan dibuat sepanjang malam dan ketika itu barulah ia muncul walaupun sebelum ini memang ada kelibat haiwan itu naik ke permukaan air atau tebing sungai," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian pada Ahad melaporkan mayat warga emas, Addi Bangsa, 60, ditemukan dalam perut buaya yang ditembak JHL Tawau.

Mangsa yang juga nelayan hilang sejak Rabu lalu disyaki dibaham buaya ketika turun ke arah botnya dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi.