Empat lelaki Indonesia punggah besi buruk di laut ditahan

Maritim Malaysia menahan sebuah bot dan empat lelaki di kedudukan 2.5 batu nautika barat daya perairan Tanjung Ayam pada Ahad. - Foto Maritim Malaysia. Gambar kecil: Simon Templer
Maritim Malaysia menahan sebuah bot dan empat lelaki di kedudukan 2.5 batu nautika barat daya perairan Tanjung Ayam pada Ahad. - Foto Maritim Malaysia. Gambar kecil: Simon Templer
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot bersama empat lelaki warga Indonesia dipercayai terbabit dengan kes kecurian besi buruk di perairan Tanjung Ayam pada Ahad.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, Zon Maritim Tanjung Sedili telah menerima maklumat daripada Sistem Pengawasan Maritim Laut (Swasla) dan mengesan sebuah bot bergerak dalam keadaan mencurigakan dari perairan Indonesia cuba menghampiri sebuah bot tunda pada jam 10.20 malam.

"Hasil maklumat berkenaan, bot ronda Maritim Malaysia segera diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan sebuah bot dengan empat lelaki sedang memunggah besi buruk dari tongkang yang ditunda sebuah bot pada jam 10.30 malam di kedudukan 2.5 batu nautika barat daya Tanjung Ayam.

"Empat lelaki tersebut merupakan warga Indonesia berumur antara 19 hingga 39 tahun.

"Kesemua suspek bersama bot dibawa ke Pos Maritim Pengerang untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, kes akan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, katanya, tindakan beberapa buah bot tidak melaporkan kejadian kecurian yang berlaku kepada pihak berkuasa telah memberi kesempatan kepada sindiket untuk terus melakukan kegiatan tersebut di laut.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan mempertingkatkan lagi operasi dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran dalam usaha mengekang aktiviti jenayah di laut khususnya di kawasan sempadan perairan negara.

"Ini kerana Maritim Malaysia percaya, selain kejadian dilaporkan dan berjaya ditangani, berkemungkinan terdapat kes yang sama berlaku ke atas bot atau kapal yang melalui perairan negara, namun tidak dilaporkan untuk tindakan," jelasnya.

Dalam masa sama, Maritim Malaysia menyeru kepada orang ramai agar menjadi mata dan telinga dalam menyampaikan maklumat bagi mengekang serta memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan dan melaporkan sebarang maklumat ke Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili di talian 07-8916591.