Pas Terengganu umum calon PRN, PRK 27 Julai

Wan Sukairi (dua dari kiri) bersama Azman (dua dari kanan) ketika ketika bertemu pengedar tunggal beras Ganu di Kampung Losong Datuk Amar di Kuala Terengganu. - Foto Facebook Wan Sukairi
Wan Sukairi (dua dari kiri) bersama Azman (dua dari kanan) ketika ketika bertemu pengedar tunggal beras Ganu di Kampung Losong Datuk Amar di Kuala Terengganu. - Foto Facebook Wan Sukairi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas Terengganu dijangka mengumumkan calon yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada 27 Julai ini.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, senarai calon itu akan diumumkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang.

"Pas akan isytihar semua nama calon parti dan jumlah kerusi yang akan ditandingi dalam PRN kali ini pada majlis berkenaan.

"Insya-ALLAH, calon yang akan bertanding untuk mewakili parti dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan serentak dengan PRN juga akan diumumkan dalam majlis yang sama," katanya.

PRK Kuala Terengganu diadakan setelah Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad yang mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Difahamkan, Pas dijangka bertanding di 27 kerusi DUN, manakala baki lima kerusi lagi akan diwakili calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Lima kerusi yang dijangka ditandingi Bersatu ialah DUN Kijal, Hulu Besut, Telemong, Permaisuri dan Langkap.

Dalam perkembangan sama, Wan Sukairi berkata, semua strategi telah diatur parti itu untuk mengekalkan kemenangan di 22 kerusi sedia ada serta merampas 10 lagi kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Terdahulu, Wan Sukairi yang juga Exco Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, bersama Exco Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar, Dr Azman Ibrahim bertemu pengedar tunggal beras Ganu di Kampung Losong Datuk Amar di sini.