PPR: KPKT minta Kedah, Kelantan segerakan proses hak milik tanah

Ikmal Nasrullah (kiri) mengadakan lawatan pada majlis penyerahan surat tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Kuala Nerang pada Ahad. - Bernama
Ikmal Nasrullah (kiri) mengadakan lawatan pada majlis penyerahan surat tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Kuala Nerang pada Ahad. - Bernama
A
A
A

KUALA NERANG - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memohon kerajaan Kedah dan Kelantan menyegerakan proses penukaran hak milik tanah bagi membolehkan penyerahan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada penerima yang layak.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sehingga kini terdapat tiga projek PPR yang masih tertangguh proses hak milik tanah dan memerlukan kerjasama kedua-dua kerajaan negeri dalam perkara tersebut.

Beliau berkata, PPR terlibat ialah PPR Kuala Nerang dan PPR Air Hitam di Jerlun, Kedah serta PPR Machang di Kelantan.

"Pihak KPKT berusaha leraikan sedikit demi sedikit perkara ini, juga saya dah jelaskan di dalam Parlimen apabila ditanya ahli Parlimen kawasan itu.

"Kita juga mengharapkan kerjasama kerajaan Kelantan sebab perkara ini dah lama, dalam keadaan kita dah keluarkan belanja, kita dah siapkan, kita diminta buat pengisian dan juga telah dilaksanakan proses pengisian.

"Kita harapkan kerjasama daripada kerajaan negeri untuk memudahkan proses hak milik tanah kerana penerima surat tawaran hari ini adalah orang Kedah, ini bukannya soal perbezaan Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri, ini yang terima akhirnya rakyat Kedah,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan surat tawaran PPR Kuala Nerang kepada 50 penerima di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib.

Akmal Nasrullah berkata, masalah hak pemilikan tanah itu turut menyebabkan proses pengisian dan penjualan rumah berkenaan tertangguh sejak ia siap pada 2019.

Beliau berkata, PPR Kuala Nerang antara 10 PPR dibina di Kedah dengan terdiri daripada 286 unit rumah teres satu tingkat dengan empat unit rumah Orang Kurang Upaya (OKU), dewan serbaguna, surau, gerai dan tadika.

"Pada awalnya PPR ini telah diserahkan kepada kerajaan Kedah dengan kerajaan negeri memutuskan supaya pengisian dan penjualan PPR ini dilaksanakan oleh KPKT, tetapi proses pengisian ini telah tertangguh disebabkan terdapat masalah pemilikan tanah.

"Walau bagaimanapun, tahun ini KPKT bersetuju untuk menjadikan PPR ini dimiliki melalui skim kaedah Sewa Untuk Dimiliki untuk tempoh lima hingga 20 tahun dengan kadar sewaan sebanyak RM237 sebulan," katanya.

Akmal Nasrullah berkata, KPKT turut memperuntukkan RM500,000 untuk kerja-kerja pembaikan kemudahan awam di PPR Kuala Nerang termasuk dewan, surau, tadika dan gerai serta pembaikan jalan yang runtuh, manakala RM2.61 juta disalurkan bagi penyelenggaraan dan baik pulih perumahan awam dan swasta berstrata di Kedah untuk tahun ini.

Sementara itu, penerima yang ditemui rata-rata melahirkan rasa syukur kerana penantian mereka selama ini untuk memiliki rumah sendiri tercapai.

Afifah Osman, 49, berkata, dengan memiliki rumah PPR itu, kehidupannya bersama suami serta lima anak menjadi lebih selesa.

"Selama 23 tahun saya dan suami menyewa dengan bayaran RM300 sebulan, rasa rugi lah, tetapi dengan rumah ini saya bayar murah dan akhirnya dapat jadi rumah sendiri. (Pendapatan) dengan menjual kuih dan suami kerja penghantar barangan memang tak mampu nak beli rumah mahal-mahal," katanya.

Noraini Ahmad, 63, turut berkongsi rasa syukur dengan penerimaan surat tawaran itu yang mengesahkan dirinya seorang daripada pembeli rumah PPR terbabit.

"Memang dah lama nak miliki rumah sendiri kerana sekarang ni saya menumpang di rumah pondok di Kampung Tanjung bersama dua anak yang bersekolah, nak beli rumah sendiri tak mampu sebab saya ibu tunggal dan mengharapkan duit pampasan sebanyak RM1,200 sebulan daripada Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) berikutan suami yang meninggal dunia pada 2015," katanya. - Bernama