Tanaman padi lima musim, bukan cetusan Kerajaan Perpaduan

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

SIK - Penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun merupakan cetusan idea Kedah, bukan Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, cadangan awal agar Kedah meneroka kaedah baharu tersebut dipelopori bersama bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Menurutnya, usaha Kedah itu telah pun bermula sejak lebih setahun lalu melibatkan keluasan sebanyak 1,240 hektar sawah.

“Kita (Kedah) yang cadangkan tanaman padi lima musim dua tahun, MADA ketika itu cari benih di Indonesia yang boleh matang dalam tempoh 75 hari dan sekarang (difahamkan) benih itu dalam proses paten.

“Lepas itu baru-baru ini (Anwar) datang Kedah umum kata dia yang gagaskan tanaman lima kali dua tahun, kita rancang lebih awal, dia baru mari nak ‘laba’,” katanya ketika berucap dalam program ceramah ‘Taujihat Pimpinan: Munajat Perdana Mohon Keamanan dan Menentang Kezaliman’ di Dewan Al-Hana, Sik pada malam Khamis.

Pada Jun 2022, Kerajaan Kedah berhasrat melaksanakan penanaman padi lima kali dua tahun bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import beras.

Muhammad Sanusi memaklumkan, import beras tidak perlu diteruskan sekiranya langkah tersebut berjaya dilaksanakan.

Dalam pada itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu percaya Kedah dicemburui parti lawan berikutan pencapaian cemerlang negeri itu sejak ditadbir PN.

“Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang rileks saja. Kedah banyak pencapaian besar antaranya, dalam keupayaan kita yang terhad kita hampir menyempurnakan proses pembaikan infrastruktur bekalan air, kita dapat geran dan pinjaman ketika itu.

“Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kalau boleh mereka nak 'claim' hasil kejayaan mereka, kalau PN tak menang PRN dan projek itu siap dalam zaman pemerintahan mereka, kejayaan itu akan dikatakan usaha mereka,” jelasnya.

Muhammad Sanusi berkata, pencapaian lain termasuk proses menaik taraf empat Loji Rawatan Air (LRA) berbentuk geran bernilai RM931 juta, selain usaha menangani air tidak terhasil (NRW) sebanyak RM940 juta menggunakan model pertama dalam negara.

“Model ini tak pernah dibuat di negeri lain, Kedah perintis, sasaran kita untuk kurangkan peratusan NRW daripada 48 peratus kepada 25 peratus. Benda baik yang kita rancang mereka (PH/BN) mahu ia jadi kenyataan masa mereka tadbir, jadi mahu tak mahu kena ‘runtuhkan’ Sanusi, tu yang mereka pulun, padahal saya bukan ada buat salah apa,” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, Kedah juga diberikan sijil perakuan pengurusan kewangan dengan memperoleh sijil bersih selain diperakui status kedudukan kewangan kukuh.

“Sebab itulah mereka marah sangat pada saya. Mereka kata saya cakap kasar dan loklaq (tidak sopan), kalau tak cakap macam tu, mereka tak akan dengar. Berpuluh MB Kedah bercakap, saya ke-14, bila cakap lepas (lantang) baru celik mata, cakap elok tak jalan,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) turut dihalang kerana impak projek berkenaan akan melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kedah sehingga 4.5 peratus lagi.

“Limpahan ekonomi akan melimpah ke timur Kedah yang miliki ramai orang Melayu berbanding barat sebagai kawasan campuran. Kekayaan negeri perlu dibawa ke bahagian tengah dan seterusnya timur untuk agihan sama rata, sebab itulah mereka marah saya.

“Selepas itu kata tak boleh sentuh 3R (agama, kaum, institusi raja), macam mana nak cerita strategi ini kalau tak boleh sebut kaum. Sudah lah (Anwar) tak mahu jumpa saya bincang KXP, mu tunggu sat (kejap) kalau ku tunggu lama ku cemuih (bosan) ku bawa turun mu pulak,” ujarnya.