Padi lima musim tingkat pendapatan pesawah - PM

Anwar ketika berucap pada Majlis Sentuhan Madani peringkat negeri di MADA Ampang Jajar, pada Sabtu.
Anwar ketika berucap pada Majlis Sentuhan Madani peringkat negeri di MADA Ampang Jajar, pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Pesawah di seluruh negara diminta memberi kerjasama untuk menjayakan program penanaman padi lima musim dua tahun untuk meningkatkan hasil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kaedah berkenaan diyakini mampu meningkatkan pendapatan pesawah daripada RM1200 kepada RM1800 sebulan berdasarkan projek rintis yang dijalankan di Sekinchan, Selangor.

Menurutnya, bagaimanapun pesawah juga diminta bekerjasama untuk menjayakan projek berkenaan dalam skala besar yang lebih menguntungkan berbanding diadakan secara kecil-kecilan.

“Saya minta kerjasama pesawah di Kedah untuk bagi kerjasama penuh kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk selaraskan projek ini.

“Beri peluang untuk kami perkenalkan satu kaedah yang boleh meningkatkan hasil. Kalau sekarang ini kerja pulun teruk macam mana pun, hasilnya memang terhad. Melalui cara ini kita harap dapat meningkatkan pendapatan pesawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sentuhan Madani peringkat negeri bersama peladang, penternak, nelayan, pesawah, penoreh dan pekebun kecil di MADA Ampang Jajar, pada Sabtu.

Anwar berkata, infrastruktur projek kerjasama antara Jabatan Pertanian, MADA dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) itu juga sedang dinaik taraf mencecah RM3 bilion.

“Sekarang kita akan siapkan infrastruktur dan pengairan, RM3 bilion itu diluluskan untuk lengkapkan keperluan infrastruktur sedia ada, saya mahu MADA menjadi contoh bagi kerjasama program ini.

“Saya mahu pastikan perancangan ini berjaya untuk bela nasib pesawah padi bawah pentadbiran kita terjamin, sebab itu kita tegas bersihkan kerja-kerja sakau bagi pastikan pendapatan pesawah tinggi,” ujarnya.

Menurutnya, kaedah tanaman lima musim dua tahun juga diyakini dapat menyelesaikan masalah negara dari aspek keterjaminan makanan atau sekuriti makanan.

“Saya harap dengan beberapa program termasuk Smart Sawah Berskala Besar (SSBB) dapat diperluaskan. Tak boleh lagi 10,000 hektar atau 5,000 hektar. Kita kena perluaskan dan jalankan secara besar-besaran,” katanya.

Anwar berkata, kawasan MADA seluas 201,000 hektar merupakan jelapang padi terbesar namun Kedah tidak lagi memiliki tanah untuk diteroka untuk tanaman padi.

“Kawasan jelapang padi ini miskin. Kalau tahu miskin, perlu cari jalan, bantu bagi pendapatan naik. Kerana tanaman padi beri kesan kepada negara.

“Sarawak ada kawasan sawah padi besar yang baharu dan di Sabah kita tambah kawasan tanaman, cuma di Kedah tak boleh buka lagi. Malah kadang-kadang diperkecilkan atas isu pembangunan, industri, perumahan dan sebagainya,” katanya lagi.

Anwar menepis dakwaan segelintir pihak yang mendakwa Kerajaan Perpaduan tidak melakukan apa-apa sejak lebih tujuh bulan mentadbir negara.

“Kata kita tak buat apa macam mana, kita warisi kerajaan yang banyak masalah dan hutang tinggi.

“Namun saya setuju untuk teliti permintaan pesawah berkaitan baja dan racun, tengok semula proses pembelian dan beli yang terbaik. Pastikan proses betul supaya jangan orang sakau tengah jalan,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Anwar menyampaikan insentif pembangunan sektor perikanan sebanyak RM18,172,544 selain insentif pembangunan sektor tanaman bernilai RM15,626,011 serta bantuan khas sektor tanaman padi sebanyak RM28,785,090.