PRN: Semua pihak perlu sambut baik larangan sentuh isu 3R

Nor Halmey
Nor Halmey
A
A
A

SHAH ALAM - Larangan kerajaan supaya pemain politik tidak menjadikan isu 3R (raja, agama dan kaum) sebagai modal berkempen sempena pilihan raya negeri (PRN) perlu disambut baik oleh semua pihak.

Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Nor Halmey Hamdah berkata, rakyat tidak harus disogokkan dengan fakta dan ilmu daripada sumber serta kehendak sesebuah parti politik itu sahaja.

"Kecenderungan beberapa individu yang berceramah pada ketika ini dilihat cuba memancing dan memainkan sentimen emosi keterlaluan supaya rakyat bersimpati dan menyokong mereka seolah-olah mereka seorang wira kepada rakyat.

"Pada hakikatnya mereka sendiri tahu bahawa perkara yang mereka ulaskan hanyalah sebagai perbincangan ilmiah dan ianya sukar untuk mereka laksanakan tetapi mereka lakukan hanya untuk mendapatkan sokongan tanpa memikirkan kesan besar kepada negara," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memberi amaran kepada semua pihak untuk tidak menyentuh sensitiviti 3R sepanjang PRN di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan serta Pulau Pinang.

Hari pengundian bagi pilihan raya di enam negeri PRN, akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos depan. Sementara penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai.

PRN melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

Tambah Nor Halmey, kesan daripada perlakuan itu menyebabkan ia menjadi sangat serius sehingga ada dalam kalangan rakyat mula memaki hamun sesama sendiri dan bermulanya perlakuan lain seperti ejek-mengejek.

"Sebagai seorang pemimpin mereka perlu ada rasa cinta dan sayangkan negara dan setiap kata-kata mereka haruslah berpaksikan kepada undang-undang dan perlembagaan sedia ada.

"Perkara ini juga berlaku apabila sesuatu isu besar timbul pemimpin-pemimpin gemar memusingkan fakta untuk menimbulkan simpati rakyat kepada mereka, dan apabila kerajaan bertindak tegas, kerajaan pula dipersalahkan rakyat," katanya.

Justeru katanya, kepada rakyat mereka perlulah mencari ruang dan peluang menuntut ilmu dalam pelbagai cara lain dan bukanya hanya dengan mendengar ceramah jalanan sahaja kerana kesahihan penceritaan ketika ceramah itu juga perlu diragui.