Mufti gesa siasat segera individu terlibat ajaran Si Hulk

Tangkap layar rakaman sekeluarga yang mengakui Nabi Muhammad SAW sebagai tuhan yang tular di media sosial.
Tangkap layar rakaman sekeluarga yang mengakui Nabi Muhammad SAW sebagai tuhan yang tular di media sosial.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Pihak berkuasa berkaitan agama di peringkat persekutuan dan negeri diminta segera menjalankan siasatan berhubung penglibatan beberapa individu dipercayai sebagai pengikut ajaran sesat Suhaini Mohammad atau Si Hulk.

Ia berikutan satu rakaman video tular memaparkan individu-individu terbabit menyokong dan membuat pengakuan secara terbuka berhubung kedudukan Rasulullah sebagai tuhan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pihak berkuasa perlu mengenal pasti individu-individu terlibat dan meminta mereka supaya bertaubat.

"Kita harap siasatan dijalankan segera oleh pihak agama di peringkat persekutuan mahu pun negeri-negeri bagi mengenal pasti individu-individu terbabit.

"Jika mereka berdegil untuk terus berpegang dengan kesesatan tersebut, maka mereka perlu dihadapkan ke Mahkamah Syariah dan dikenakan hukuman mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam rakaman terbabit, setelah memperkenalkan diri, lima individu mengakui dan menyokong bahawa apa yang dikatakan oleh pengasas kumpulan terbabit adalah benar.

Menurut laman sesawang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), mana-mana individu atau kumpulan yang mengamalkan mana-mana ciri-ciri (pegangan, fahaman dan amalan) di atas adalah sesat dan boleh diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa agama.

Wan Salim
Wan Salim

Tambah Wan Salim, tindakan individu-individu terbabit jelas sesat dan perlu dibendung daripada tersebar dalam kalangan masyarakat di negara ini.

"Kita tidak dapat memastikan tujuan sebenar di sebalik tindakan ini. Bagaimanapun, tidak diragui lagi bahawa kepercayaan sedemikian adalah satu lagi ajaran sesat yang perlu diluruskan serta dibendung supaya tidak tersebar dalam masyarakat Islam di negara ini.

"Sesiapa yang percaya bahawa Nabi Muhammad SAW ialah ALLAH SWT, sesungguhnya mereka itu telah terkeluar daripada agama Islam dan murtad yang boleh dijatuhi hukuman bunuh menurut syariat Islam," katanya.

Tambah beliau lagi, para ulama telah ijmak atau sepakat bahawa Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik makhluk dan pembawa rahmat untuk seluruh alam.

"Kita sedia maklum bahawa dalam ajaran Islam, Nabi Muhammad SAW adalah seorang Rasul yang diutuskan oleh ALLAH SWT untuk menyampaikan agama-Nya kepada seluruh manusia.

"Hakikat ini difahami daripada beberapa ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sahih disertai dengan huraian oleh para ulama muktabar.

"Bagaimanapun, kelebihan Nabi Muhammad SAW sebagai ‘sayyidul khalqi’ atau sebaik-baik makhluk ini tidak harus membawa kepada kepercayaan yang melampau sehingga ke tahap pemujaan seperti mempertuhankan baginda," katanya.

Sinar Harian pada Jun lalu turut melaporkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menahan seorang lelaki dipercayai ahli kumpulan ajaran sesat diasaskan Suhaini Mohammad yang menghina Nabi Muhammd SAW dengan mengatakan baginda adalah ALLAH.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah rumah di daerah Jasin kira-kira jam 8.30 malam, pada 11 Jun lalu.