Perak mahu tambah keluasan perlombongan lantanid

Saarani (tiga dari kiri) menyempurnakan Majlis Pelepasan Produk Usahawan Perak ke Malaysia Fest 2023 yang akan berlangsung di Singapore Expo Hall, Singapura pada 27 – 30 Julai ini.
Saarani (tiga dari kiri) menyempurnakan Majlis Pelepasan Produk Usahawan Perak ke Malaysia Fest 2023 yang akan berlangsung di Singapore Expo Hall, Singapura pada 27 – 30 Julai ini.
A
A
A

GERIK - Kerajaan Perak merancang untuk menambah keluasan operasi perlombongan nadir bumi lantanid di Mukim Kenering dekat sini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, permohonan bagi aktiviti itu akan dibuat kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi mendapatkan kebenaran.

Menurutnya, kawasan operasi projek perintis unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) itu boleh ditambah kerana kedudukannya masih jauh dari kawasan hutan simpan.

"Ada satu arahan standard bahawa tidak boleh menjalankan perlombongan dalam kawasan hutan simpan, tetapi di Perak ini, kita dah lebih 5,000 hektar berada di luar kawasan hutan simpan.

"Jadi sekarang kita akan memohon kepada kementerian untuk membolehkan negeri Perak ini diberi kebenaran memperluaskan kawasan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak bagi daerah Hulu Perak di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik di sini pada Khamis.

Projek perintis itu telah dimulakan pada Oktober tahun lalu di kawasan berkeluasan 87.4 hektar setelah memperoleh kelulusan dari segi perundangan daripada agensi-agensi teknikal dan kebenaran beroperasi daripada pihak berkuasa negeri.

Setakat ini, kerajaan Perak telah menerima bayaran royalti sebanyak RM1.66 juta melibatkan pengeksportan pertama nadir bumi karbonat (REC) sebanyak 296.2 tan metrik.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, semua aktiviti perlombongan nadir bumi lantanid di kawasan itu telah diaudit dan disahkan dijalankan mengikut prosedur ditetapkan.

Katanya, kerajaan negeri juga sentiasa memantau ketat memastikan bahawa setiap aktiviti perlombongan bermula dari kerja awal mematuhi prosedur standard operasi (SOP).

"Jadi tidak timbul di Perak ini ada perlombongan haram dan sebagainya kecuali lah individu yang curi-curi, itu saya tak pasti kerana tidak dapat dikesan.

"Bagaimanapun yang melibatkan kerajaan negeri, saya beri jaminan semuanya ikut peraturan kerana kita adalah projek pilot. Jadi kita mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan ini," katanya.