MKD, BBP digesa tingkatkan pulangan dividen

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan menyampaikan ucapan pada Program Kepimpinan dan Tadbir Urus Baik Lembaga Pengarah Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) dan Badan Berkanun Persekutuan (BBP) di Kementerian Kewangan pada Khamis. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan menyampaikan ucapan pada Program Kepimpinan dan Tadbir Urus Baik Lembaga Pengarah Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) dan Badan Berkanun Persekutuan (BBP) di Kementerian Kewangan pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) dan Badan Berkanun Persekutuan (BBP) digesa untuk meningkatkan pulangan dividen sebagaimana ditetapkan.

Bercakap menerusi sidang akhbar di Kementerian Kewangan, Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan memperuntukkan RM24.87 bilion kepada BBP di dalam Belanjawan 2023.

"Sumbangan pendapatan kerajaan oleh syarikat MKD yang merupakan dividen adalah RM50.74 bilion pada tahun lalu, jadi kita harap tahun ini pulangan diberikan akan meningkat," katanya pada Khamis.

Menurutnya, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan tiga syarikat MKD dan BBP yang memberi pulangan tertinggi kepada kerajaan.

"Segala dividen ini akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan dan seterusnya berikan semula oleh kerajaan dalam bentuk pembangunan serta bantuan kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu beliau mengakui terdapat MKD dan BBP yang tidak mencapai peratusan pulangan yang ditetapkan disebabkan beberapa faktor.

Ia terutamanya membabitkan syarikat perkhidmatan pengangkutan dan infrastruktur yang memberi perkhidmatan kepada rakyat.

"Contohnya Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) yang sedang membina Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pula tidak mencatatkan keuntungan kerana tidak dibenarkan menaikkan tambang tiket sewenang-wenangnya," katanya.

Selain itu, syarikat pelaburan kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antara yang tidak mencatatkan pulangan kepada kerajaan.

"Begitu juga dengan MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR) yang tidak dapat memberikan dividen kerana penamatan projek keretapi berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura," katanya.

Penubuhan MKD adalah bagi menyediakan khidmat sosio ekonomi kepada rakyat dan memenuhi jurang pasaran dalam bidang strategik, berteknologi tinggi serta melibatkan modal yang besar dan tidak mampu diceburi oleh pihak swasta.

Antara syarikat MKD adalah 1MDB Amanah Raya Berhad, Bank Pembangunan, Felcra Berhad selain Petronas, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

BBP pula bagi melaksanakan mandat penubuhan seperti mana dinyatakan dalam Akta Tubuh BBP masing-masing.

Terdapat 14 BBP di bawah kawal selia Kementerian Kewangan antaranya BNM, Bank Simpanan Nasional (BSN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).