Jualan Rahmah Bergerak bukan untuk PRN sahaja

Fuziah (tengah) berucap pada Program Jualan Rahmah Bergerak DUN Bukit Pinang, di sini, pada Rabu.
Fuziah (tengah) berucap pada Program Jualan Rahmah Bergerak DUN Bukit Pinang, di sini, pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Inisiatif Jualan Rahmah Bergerak menerusi pendekatan 'Kedai Cari Rakyat' di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dilaksanakan di seluruh negara bukannya negeri akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sahaja.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, Jualan Rahmah Bergerak digerakkan di seluruh negara bermula dengan Pulau Pinang menjadi negeri pertama melaksanakan inisiatif itu pada 17 Jun lepas.

Fuziah berkata, setakat ini, sebanyak 153 Jualan Rahmah Bergerak diadakan di pelbagai negeri dengan lebih sejuta pengguna menerima manfaat melalui jualan itu.

"Ada orang kata dekat saya buat dekat negeri hendak pilihan raya. Saya kata tidak. Johor tidak ada pilihan raya. Melaka saya pergi dua hari lepas tidak ada pilihan raya.

"Rakyat itu kita akan sentiasa santuni sebab rakyat susah ada di mana-mana (sahaja), bukan di negeri-negeri yang ada PRN sahaja. Itulah 'Kedai Cari Rakyat'. Saya rasa ia akan jadi sebutan seperti mana Menu Rahmah,"katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pemberita selepas Program Jualan Rahmah Bergerak Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang, di sini, pada Rabu.

Fuziah berkata, program Jualan Rahmah Bergerak amat bermanfaat memandangkan 99 peratus daripada keseluruhan peruntukan disalurkan terus kepada rakyat melalui pemberian subsidi.

"Alhamdulillah, impak dia (Jualan Rakyat Bergerak) luar biasa dan kita tengok sokongan dan penerimaan rakyat cukup luar biasa dan sejak kita mulakan (sebanyak) 1.1 juta rakyat telah pun berjaya mendapat manfaat daripada Jualan Rahmah.

"Insya-ALLAH, saya meletakkan sasaran (mengadakan program) dua kali sebulan di setiap kawasan DUN hingga hujung tahun, maksudnya kita target lagi 6,440 kali Jualan Rahmah Bergerak hingga hujung tahun,"katanya.

Beliau turut mendapati perlaksanaan program berkenaan di beberapa negeri sejak ia dilancarkan pada bulan lepas berjalan lancar dan mendapat sambutan rakyat.

Fuziah (tengah) beramah mesra dengan pengguna yang membeli barangan keperluan pada Program Jualan Rahmah Bergerak DUN Bukit Pinang.
Fuziah (tengah) beramah mesra dengan pengguna yang membeli barangan keperluan pada Program Jualan Rahmah Bergerak DUN Bukit Pinang.

Menurut Fuziah, bagi negeri-negeri tertentu, ada yang masih sedang mencari rakan strategik yang sanggup mengikut syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk perlaksanaan jualan itu.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, lebih 25 unit simpanan stok (SKU) dikenal pasti sebagai barangan keperluan asas untuk ditawarkan kepada pengguna ketika Jualan Rahmah Bergerak.

"Namun, terpulanglah kepada vendor untuk bawa (apa). Kadang-kadang, ada negeri macam Melaka ada ladang, jadi senang dapat telur ayam. Jikalau, Pulau Pinang dan Kedah mungkin susah sikit. "

"Jadi sebab itu dia punya item tu berubah-ubah tetapi yang asas (seperti) beras, minyak (ada),"katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, pihaknya ada menerima permohonan untuk dimasukkan barangan seperti lampin pakai buang dan produk penjagaan diri untuk dimasukkan dalam senarai barangan Jualan Rahmah Bergerak itu.

"Ini antara permohonan-permohonan daripada rakyat. Jadi, jikalau kalau vendor kita boleh dapatkan dan kita punya KPDN negeri akan bantu cari barang-barang tersebut. Insya-ALLAH kita akan bantu untuk memastikan barang itu masuk di dalam senarai," katanya.