Perlis sasar 3.8 juta pelancong sempena TMP 2024-2025

Pesta Air Kuala Perlis merupakan acara tahunan yang memberi fokus terhadap aktiviti sukan air seperti pertandingan perahu panjang, panjat tiang licin dan menjala ikan. - Foto Twitter/MOTAC
Pesta Air Kuala Perlis merupakan acara tahunan yang memberi fokus terhadap aktiviti sukan air seperti pertandingan perahu panjang, panjat tiang licin dan menjala ikan. - Foto Twitter/MOTAC
A
A
A

PADANG BESAR - Kerajaan negeri Perlis menyasarkan 3.5 juta pelancong dari dalam dan luar negara akan bertandang ke negeri ini sempena Tahun Melawat Perlis (TMP) 2024-2025.

Exco Pelancongan Negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, keyakinan itu diletakkan berdasarkan sambutan pelancong yang mencecah angka dua juta lebih pada tahun sebelum ini.

"Sebagai contoh pada Pesta Angin Timur 2023 yang berlangsung di Kampung Sungai Padang pada 3 hingga 5 Mac lalu mendapat sambutan luar biasa apabila berjaya menarik hampir 3,000 pengunjung dan ini menunjukkan satu petanda baik," katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer berkata, kerajaan negeri telah menyusun pelbagai program menarik sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 nanti.

"Antara program yang telah disusun adalah seperti Pesta Air Kuala Perlis dijadual berlangsung antara bulan September atau Oktober tahun depan yang pasti dinanti-nantikan oleh pelancong dari dalam dan luar negara," katanya.

Wan Badariah berkata, pengisian penganjuran pada kali ini agak berbeza daripada sebelumnya kerana akan turut dianjurkan bersama sukan rakyat di darat selain sukan air dan acara utama lumba perahu antarabangsa.

"Kami masih belum menetapkan tempat, namun keputusan akan dibuat selepas ini," katanya.

Beliau berkata, antara lokasi yang dicadangkan ialah Kampung Y, lencongan banjir barat dan beberapa tempat lagi kerana kerja-kerja naik taraf Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Kuala Perlis.

Pada 2019, edisi keenam Penganjuran Pesta Air Kuala Perlis berjaya menarik lebih 25,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Wan Badariah berkata, di samping acara utama, kerajaan negeri juga akan membantu mempromosi program yang dianjurkan oleh pihak swasta dan produk pelancongan yang dihasilkan oleh orang ramai.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan cadangan agar beruk kentui dijadikan sebagai maskot bagi TMP 2024-2025 kerana spesies primat itu hanya terdapat di Perlis.

Katanya sebagai persiapan TMP 2024-2025, kerajaan negeri juga sedang menambah baik infrastruktur pelancongan.