Tempuh perjalanan 9 jam, pekerja bengkel kimpalan sambar RM7,000

PERLIS - Perjalanan sejauh 735 kilometer (km) dari Kuantan ke Kuala Perlis yang mengambil masa sembilan jam ternyata berbaloi buat pekerja bengkel kimpalan, Fadir Ali, 39, apabila muncul juara pertandingan memancing Monsun Cup Perlis di sini pada Sabtu.
Fadir membawa pulang wang tunai RM7,000 selepas menaikkan ikan belukang seberat 1.855 kilogram (kg), kira-kira 15 minit sebelum pertandingan berakhir, sekali gus menewaskan lebih 250 peserta lain.
Pertandingan anjuran Geng Pancing Unik (GPU) sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Hari Sukan Negara 2026 itu berlangsung di pesisiran Pantai Kuala Sungai Baru di sini.
Tempat kedua dimenangi peserta dari Perlis, Othman Zakaria, 61, yang menaikkan ikan belukang seberat 1.825kg, manakala seorang lagi peserta negeri itu, Aidil Shukri Mat Daud, 28, menduduki tempat ketiga dengan tangkapan seberat 1.665kg.

Othman menerima hadiah wang tunai RM1,000, manakala Aidil Shukri membawa pulang RM500.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Presiden GPU, Wan Mohd Fitri Wan Shahidan.
Menurut Fadir, perjalanan jauh bersama dua rakannya dari Kuantan ke Perlis cukup memenatkan apabila mereka terpaksa bergilir-gilir memandu sepanjang perjalanan.
“Perjalanan memang memenatkan. Dengan jarak lebih 700km, kami silih berganti menukar pemandu. Lebih sembilan jam kami berada dalam kenderaan dari Kuantan ke Perlis.
“Lebih mencabar apabila perjalanan di lebuh raya dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang tidak lancar berikutan kehadiran ratusan motosikal yang bergerak secara berkumpulan bagi menghadiri program di Pulau Pinang.
“Alhamdulillah, pengorbanan kami bertiga berbaloi di sini,” katanya selepas menerima hadiah.
Fadir berkata, beliau pernah beberapa kali menjuarai pertandingan memancing, dengan hadiah terbesar pernah diraihnya ialah RM70,000 menerusi satu pertandingan di Pantai Punggai, Johor beberapa tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
