Hampir 50,000 anggota ATM, pasangan terlibat undi awal PRN

Adly Zahari - Foto Bernama
Adly Zahari - Foto Bernama
A
A
A

KUALA BERANG - Seramai 49,660 individu terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan terlibat dalam proses pengundian awal pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, 8 Ogos depan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, proses itu akan berjalan di 54 pusat mengundi awal ATM yang diwartakan oleh Suruhan Pilihan Raya (SPR) di Terengganu, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.

"Lapan pusat mengundi di Kedah; Kelantan (enam pusat); Negeri Sembilan (lapan pusat); Pulau Pinang (lapan pusat); Selangor (16 pusat) dan Terengganu (lapan pusat).

"Saya berharap semua anggota, pegawai dan pasangan terlibat dapat membuat perancangan awal dan keluar menunaikan kewajipan masing-masing untuk mengundi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Peduli Veteran (PPV) negeri Terengganu di Tasik Kenyir di sini, pada Selasa yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN melibatkan enam negeri masing-masing pada 29 Julai dan 8 Ogos, manakala hari pengundian pada 12 Ogos depan.

Terdahulu, Adly turut meluangkan masa melawat dan menyampaikan sumbangan kepada balu bekas anggota ATM, Nor Maizan Hussin, 58, di Kuala Besut yang menghidap pelbagai penyakit kronik termasuk sakit jantung, saraf, kencing manis dan paru-paru rosak.

Lawatan turut melibatkan seorang veteran ATM Mohd Junoh Mohd Nor, 67, yang menghadapi masalah saluran jantung tersumbat dan masih bekerja di kilang papan dengan pendapatan RM800 sebulan.

Selain itu, Adly turut menyerahkan sumbangan 500 kotak Rahmah yang berisi barangan makanan asas kepada Persatuan Veteran ATM Negeri Terengganu untuk diagihkan kepada ahlinya yang memerlukan.

"Kementerian Pertahanan beriltizam untuk terus mempertingkat siri lawatan kebajikan agar tiada veteran ATM yang tercicir daripada perhatian dan pembelaan," katanya. - Bernama