Anak yatim tolak tawaran universiti kerana kesempitan hidup

Fatin Nur Aqilah (kiri) yang meraih kejayaan pada SPM 2022 diraikan bersama Moraini (kanan).
Fatin Nur Aqilah (kiri) yang meraih kejayaan pada SPM 2022 diraikan bersama Moraini (kanan).
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang anak yatim di Kampung Chuchoh Puteri di sini terpaksa menolak tawaran melanjutkan pengajian di universiti awam akibat kesempitan wang.

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, Fatin Nur Aqilah Mat Soom, 18, itu menerima tawaran menyambung pengajian peringkat diploma dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam selepas mendapat keputusan SPM 4A, 1A, 1B, 1C dan 1D baru-baru ini.

Menurut Fatin Nur Aqilah, ibunya, Moraini Ismail, 52, hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan yang tidak tetap sekitar RM250 sebulan manakala bapanya, Mat Soom Abu Bakar sudah meninggal dunia empat tahun lalu pada tahun 2019.

“Arwah bapa ialah pesara tentera dan kami menerima pencennya sebanyak RM1,300 sebulan namun tidak mencukupi untuk menampung kehidupan kami sekeluarga termasuk kos rumah sewa RM80 sebulan.

“Saya tak ada wang untuk membayar yuran kemasukan ke universiti dan kos pengangkutan untuk pergi di Selangor menyebabkan saya menyambung pengajian ke Tingkatan Enam,” katanya ketika ditemui pada Jalinan Kasih Pelajar Cemerlang B40 Program Yayasan Petronas empower ECER Akademik (YPeA) di Pejabat Pendidikan Daerah di sini pada Selasa.

Fatin Nur Aqilah (kiri) yang gembira dan mencium pipi Moraini (kanan).
Fatin Nur Aqilah (kiri) yang gembira dan mencium pipi Moraini (kanan).

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra itu, sebelum ini dirinya ialah pelajar yang lemah pelajaran namun berjaya meningkatkan prestasi selepas menyertai YPeA sesi 2022/2023 hingga menerima tawaran daripada universiti.

“Program kelas bimbingan dan motivasi YPeA ini mencungkil potensi diri dan mendorong saya untuk terus berjuang meraih kejayaan dalam SPM tanpa putus asa.

“Suatu hari nanti, saya mahu capai cita-cita untuk menjadi pensyarah bagi membalas jasa ibu yang sudah banyak berkorban untuk keluarga,” katanya.

Ujar Fatin Nur Aqilah, keluarganya turut menerima bantuan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan.