Usahawan belia rayu bantuan untuk berkembang

Mohamad Shafik mula berniaga tauhu bergedil pada tahun 2018 di Bandar Meru Raya, Ipoh. (Gambar kecil: SYAKEER HAZEEM dan MUHAMMAD IKHWAN)
Mohamad Shafik mula berniaga tauhu bergedil pada tahun 2018 di Bandar Meru Raya, Ipoh. (Gambar kecil: SYAKEER HAZEEM dan MUHAMMAD IKHWAN)
A
A
A

MENJADI usahawan pada usia muda sesuatu yang mencabar di sebalik ramai yang memilih untuk bekerja makan gaji kerana lebih stabil.

Namun, sebilangan belia memilih untuk mencabar diri dengan menjalankan perniagaan walaupun terpaksa menghadapi pelbagai kekangan seperti kekurangan dari segi pengalaman, kewangan, kemahiran, ruang dan peluang.

Wartawan Sinar Harian, Saifullah Ahmad menyingkap dilema yang dihadapi golongan belia di Ipoh yang berdepan cabaran untuk terus bergelar usahawan.

Penglibatan golongan muda di dalam bidang keusahawanan di bandar raya Ipoh amat menggalakkan biarpun berdepan dugaan untuk bertahan dan berkembang terutama peniaga kecil.

Seorang peniaga, Mohamad Shafik Yahya, 31, mengakui cabaran besar dihadapi golongan usahawan muda untuk menceburi bidang perniagaan bukan sahaja soal modal tetapi peluang-peluang lain termasuk lokasi strategik.

Menurutnya, perniagaan tauhu bergedil yang dimulakan pada tahun 2018 di Bandar Meru Raya pada peringkat awalnya agak baik namun ketika ini semakin merosot akibat pelbagai faktor.

“Dulu, jualan mencecah 1,000 biji sehari namun semakin merosot sejak peningkatan harga barang dan kuasa beli juga berkurang.

“Sebagai usahawan muda memang kita perlukan bantuan dan bimbingan daripada agensi kerajaan untuk terus bertahan. Banyak bantuan disediakan tetapi kita tidak layak disebabkan syarat yang ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, kebanyakan peniaga kecil di Bandar Meru Raya berdepan masalah mendapatkan lesen disebabkan lokasi perniagaan yang kurang sesuai malah terdapat usaha untuk memberikan tempat perniagaan baharu namun difahamkan lokasi kurang strategik.

Ujarnya, peniaga berdepan dilema sama ada kekal berniaga di lokasi sedia ada tanpa lesen atau berpindah ke lokasi baharu yang kurang strategik tetapi diberikan lesen.

Bagi seorang lagi peniaga, Syakeer Hazeem Hashim, 29, niat baik pihak berkaitan untuk memindahkan peniaga ke kawasan baharu bagi membolehkan peniaga diberikan lesen amat dialu-alukan.

Bagaimanapun katanya, lokasi baharu itu perlu strategik untuk pastikan peniaga tidak rugi dan orang ramai mengetahui tentang kewujudannya kerana kebanyakan peniaga mempunyai pelanggan tetap.

“Jadi lokasi peniaga kecil ini amat penting sekurang-kurangnya orang tahu kita masih berniaga. Bantu juga kami dengan turunkan harga barang basah sebab kalau jual murah kita rugi, kalau naikkan harga orang tak beli,” katanya yang menjual nasi kukus ayam berempah di Bandar Meru Raya.

Seorang lagi peniaga, Mohd Safwan Mohd Nazri, 31, berkata, masalah dihadapi oleh golongan usahawan muda adalah kesukaran mendapatkan bantuan disebabkan tiada lesen atau tidak berada dalam organisasi atau persatuan.

Mohd Safwan yang menjalankan perniagaan di Taman Jati, Ipoh mengakui jualannya semakin berkurang.
Mohd Safwan yang menjalankan perniagaan di Taman Jati, Ipoh mengakui jualannya semakin berkurang.

Ulasnya, semua usahawan kecil memerlukan sokongan dan bantuan namun terdapat kekangan dihadapi untuk memenuhi syarat ditetapkan agensi.

“Kalau ikut pengalaman kawan-kawan yang ada masalah sama seperti saya, memang susah nak dapat apa-apa bantuan disebabkan status lesen perniagaan dan sebagainya. Namun kita perlukan bantuan itu tetapi tak ada pilihan.

“Dah tiga tahun saya berniaga. Dulu ada enam khemah tetapi sebab dah rosak, tinggal tiga sahaja sebab tak mampu nak beli lagi, jualan makin berkurang ekoran kuasa beli sudah tidak seperti dulu,” katanya yang berniaga di Taman Jati.

Jelasnya, amat wajar jika pihak berkaitan boleh memberikan pertimbangan kepada peniaga kecil atau usahawan muda untuk mendapatkan bantuan tanpa melalui syarat-syarat ketat.

Suara usahawan belia perlu didengar

Sementara itu, masalah yang dihadapi usahawan belia di bandar raya ini tidak harus dipandang sepi biarpun mereka masih baru berjinak dalam bidang perniagaan.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Ipoh, Muhammad Ikhwan Zulkeflee berkata, ketika ini penglibatan golongan belia dalam bidang keusahawanan amat menggalakkan terutama di bandar raya ini.

Namun katanya, beberapa isu yang membebankan golongan peniaga ketika ini memang memberi kesan kepada golongan usahawan muda itu untuk bertahan dan mengembangkan perniagaan.

“Usahawan belia pada hari ini dirumitkan dengan kenaikan kos harga barang yang sangat tinggi. Tambahan pula, suara dan pandangan mereka seumpana diketepikan oleh perniagaan yang sudah bermula lebih lama berbanding dengan usahawan yang baru berniaga.

“Namun kita merasakan pimpinan belia perlu diberikan ruang dan peluang oleh agensi untuk membantu usahawan belia bagi memanfaatkan segala kemudahan disediakan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Tambah Muhammad Ikhwan, isu lokasi perniagaan yang mahu disediakan untuk golongan peniaga harus mengambil kira sama ada strategik atau sebaliknya agar tapak tersebut boleh dimanfaatkan secara optimum.

Ujarnya, kesemua isu berkenaan perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana ia mampu memberikan perkembangan yang baik selaras usaha dilakukan kerajaan negeri menerusi Pelan Perak Sejahtera 2023.

Dalam pada itu, beliau berharap usahawan belia terus bersuara dan tidak perlu rasa rendah diri untuk meminta pandangan daripada kenalan serta pimpinan pertubuhan belia jika mereka berdepan cabaran atau masalah.

Menurutnya, ketika ini Sekretariat Usahawanan Negeri Perak (STeP) memainkan peranan besar dengan menawarkan pelbagai program dan manfaat buat belia yang berkecimpung dalam arena keusahawanan di negeri Perak khususnya kepada anak muda Ipoh.

Muhammad Ikhwan memberitahu, pihaknya juga sedia memberikan kerjasama serta menjadi pemudah cara untuk golongan usahawan muda mendapatkan sebarang akses bagi memastikan perniagaan mereka terus bertahan dan berkembang.