Sultan Johor selamat jalani pembedahan bahu kanan

Sultan Ibrahim selamat menjalani pembedahan di bahu kanan di Hospital Pakar Damansara 2, Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim selamat menjalani pembedahan di bahu kanan di Hospital Pakar Damansara 2, Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, selamat menjalani pembedahan di bahu kanan akibat kecederaan lama di Hospital Pakar Damansara 2, Kuala Lumpur pada Selasa.

Prosedur pembedahan berlangsung selama hampir tiga jam dan selepas selesai, baginda berada dalam keadaan sihat.

Baginda turut meluangkan masa beramah-mesra bersama pasukan petugas perubatan selepas selesai menjalani pembedahan.

Sultan Ibrahim akan menjalani rawatan susulan radiofrekuensi untuk beberapa hari sebelum berangkat pulang ke Johor.

“Pembedahan berjalan dengan baik dan saya juga berada dalam keadaan baik.

“Saya ingin menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua pasukan petugas perubatan yang terlibat dan juga kepada rakyat yang sentiasa mendoakan kesihatan saya,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) pada Selasa.

Doktor pakar ortopedik yang terlibat ialah Dr Tan Chin Khoon, Dr Simmrat Singh Jagdis Singh dan Dr Shamsul Iskandar Hussein.

Dr Naveen Rajadurai (Radiologi); Dr Zuraini Md Noor (pakar bius) dan Datin Dr Vanitha Sivanaser (pakar bius).

Turut bersama ialah Datuk Dr Subrahmanyam Balan, doktor peribadi Sultan Ibrahim.