Elak jadikan kedudukan raja-raja bahan wacana perbahasan politik tidak sihat - PM

Anwar (tengah) bersama penerima bantuan pada Majlis Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor di Sekinchan, hari ini. Foto Bernama
Anwar (tengah) bersama penerima bantuan pada Majlis Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor di Sekinchan, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SEKINCHAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak mengelak daripada menjadikan perkara berkaitan kedudukan dan peranan Raja-Raja Melayu sebagai bahan wacana perbahasan politik yang tidak sihat.

Beliau berkata, institusi diraja negara ini seharusnya dipelihara dan disanjung oleh semua golongan.

Justeru Perdana Menteri meminta rakyat meneliti pendakwaan yang dikenakan terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini di bawah Akta Hasutan 1948 dan menghormati proses yang dijalankan oleh mahkamah.

"Saya minta orang teliti apa pendakwaannya, yang pertama apa (laporan polis oleh) Dewan Diraja Selangor dan kemudian apa alasan Peguam Negara bagi pendakwaan setelah siasatan polis,” kata beliau kepada media selepas merasmikan Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Selayang hari ini, atas dua pertuduhan iaitu menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lepas.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Anwar menegaskan bahawa kerajaan cuba untuk mengelak menggunakan Akta Hasutan, bagaimanapun dalam kes ini ia melibatkan soal kedudukan Raja-raja.

"Saya dari segi dasar, kita elak penggunaan Akta Hasutan tapi ini sentuh soal kedudukan Raja-Raja. Kalau soal kritik Perdana Menteri, saya tak pernah guna itu sebagai alasan tapi ini soal kedudukan dan martabat Raja-Raja yang harus kita pelihara dan sanjung serta elak daripada menjadi suatu wacana perbahasan politik yang tidak sihat,” kata beliau.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah perkara berhubung kenyataan Muhammad Sanusi yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor, masih belum selesai.

Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor juga bertindak membuat satu laporan polis pada 14 Julai lepas berkenaan isu itu. - Bernama