Khyra Dania bentang kesan rasuah di hadapan menteri

Hannah (dua dari kanan) tertarik mendengar pembentangan kesan rasuah oleh Khyra Dania (kiri) sambil diperhatikan oleh Nik Justin.
Hannah (dua dari kanan) tertarik mendengar pembentangan kesan rasuah oleh Khyra Dania (kiri) sambil diperhatikan oleh Nik Justin.
A
A
A

GEORGETOWN - Peluang berucap di hadapan menteri adalah kenangan dan pengalaman manis yang tidak mungkin dilupakan oleh murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Dik, Padang Serai, Khyra Dania Khairyna Mohd Hazwan.

Khyra Dania adalah antara lima murid yang dinobatkan sebagai pemenang Pembentang Terbaik Kategori Sekolah Rendah dalam Bicara Cilik Rasuah Busters 2023 Peringkat Kebangsaan.

“Ini pengalaman pertama dan saya amat gementar. Tak sangka dapat berucap di hadapan menteri, seperti mimpi. Walaupun gementar, saya bersyukur kerana saya dapat menyampaikan pembentangan saya dengan baik.

“Walaupun suara kedengaran menggeletar, saya bersyukur kerana tidak lupa teks. Ini kenangan dan pengalaman manis yang saya tidak akan lupa sampai bila-bila,” kata Khyra Dania ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Sebelum itu, anak sulung daripada tiga beradik itu menerima hadiah dimenangi yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di reruai Rasuah Busters sempena Hari Belia Negara dan Jelajah Rakan Muda Peringkat Pulau Pinang 2023 di Padang Kota Lama.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin dan Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Harian, Nik Justin Nik Mohd Ariffin.

Bicara Cilik Rasuah Busters 2023 Peringkat Kebangsaan diadakan secara dalam talian di saluran YouTube SKKB Ts25 (TV SK Kg Baharu Sekolah Transformasi 2020-2025) dan beberapa media sosial antaranya Facebook Sinar Bestari, Rasuah Busters dan Astro Awani pada 24 Jun lalu.

Hannah menyampaikan hadiah kepada Khyra Dania (tiga dari kiri) sambil diperhatikan oleh Nurhayati dan Nik Justin.
Hannah menyampaikan hadiah kepada Khyra Dania (tiga dari kiri) sambil diperhatikan oleh Nurhayati dan Nik Justin.

Khyra Dania memberitahu, dia tertarik untuk menyertai Bicara Cilik Rasuah Busters kerana isu yang diketengahkan amat menarik selain ia merupakan isu semasa yang hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat.

“Saya memang suka menyertai pertandingan, baik dalam bentuk ilmiah atau sukan. Bagi Bicara Cilik Rasuah Busters ini, saya tertarik dengan tajuknya yang mana, gejala rasuah ini pada saya bukan sahaja wujud dalam kalangan orang dewasa, malah semua lapisan masyarakat.

“Saya berharap dengan menyertai pertandingan ini, secara tidak langsung ia memberi kesedaran kepada rakan sebaya akan kesan buruk gejala rasuah. Saya juga berharap dengan penyertaan saya ini dapat menjadi inspirasi kepada rakan lain selain memberi pendidikan mengenai rasuah kepada mereka,” katanya.

Khyra Dania memberitahu, dia banyak merujuk kepada carian internet selain membaca laporan berita mengenai gejala rasuah untuk meningkatkan pengetahuan mengenai isu tersebut.

“Saya cari bahan di internet dan daripada bacaan di portal berita. Boleh kata setiap hari, ada sahaja laporan berita mengenai rasuah. Daripada situ, saya membuat teks dibantu guru dan rakan lain.

“Alhamdulillah berkat usaha dan dorongan serta galakan daripada ibu, Jasmina Azira Aziz, bapa, Mohd Hazwan Harun dan guru terutamanya Normalati Mahmud, saya berjaya memenangi Bicara Cilik Rasuah Busters 2023 Peringkat Kebangsaan,” katanya.

AKTIF DI SEKOLAH

Sementara itu, Normalati berkata, Khyra Dania amat komited dengan setiap pertandingan yang disertainya bagi memastikan kemenangan berpihak kepadanya.“Dia memang aktif di sekolah, masuk banyak pertandingan. Memang sebagai salah seorang gurunya, saya membimbing dan memberi semangat kepada Kyra untuk terus berjaya.

“Di sekolah kami, terdapat 20 murid termasuk Khyra menyertai pertandingan ini. Daripada jumlah itu, empat guru panel yang dilantik telah memilih Khyra dan seorang lagi rakannya, namun akhirnya rezeki berpihak kepada Khyra apabila dinobatkan sebagai pemenang bagi Pembentang Terbaik Kategori Sekolah Rendah dalam Bicara Cilik Rasuah Busters,” katanya.

Mengulas mengenai Bicara Cilik Rasuah Busters, Normalati berkata, pendidikan rasuah penting dikembangkan di peringkat sekolah sebagai pendedahan awal kepada pelajar.

“Dengan pendedahan ini kepada murid, ia diharap dapat menyemai rasa benci terhadap rasuah dan mereka akan menjauhi gejala rasuah apabila memasuki ke alam pekerjaan kelak.

Hannah (lima dari kanan) bergambar kenangan bersama Pasukan Rasuah Busters di reruai Rasuah Busters pada Hari Belia Negara dan Jelajah Rakan Muda Peringkat Pulau Pinang 2023 di Padang Kota Lama.
Hannah (lima dari kanan) bergambar kenangan bersama Pasukan Rasuah Busters di reruai Rasuah Busters pada Hari Belia Negara dan Jelajah Rakan Muda Peringkat Pulau Pinang 2023 di Padang Kota Lama.

“Pendekatan ini sekali gus mendorong generasi muda menjadi masyarakat yang baik dan bebas rasuah. Pertandingan yang dianjurkan ini, bagi saya sangat baik kerana ia mendidik dan mendedahkan kesan negatif gejala rasuah kepada anak-anak kita di sekolah,” tambahnya.

Selain Khyra Dania, empat lagi murid memenangi dalam kategori sama iaitu Hadif Rayyan Hazri dari SK Bukit Kuda, Klang, Selangor; Nur Haziqah Azhar Hisham (SK Matang Gerdu, Padang Serai, Perak), Nurul Adriana Safura Mohammad Zairi (SK Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan) dan Ahmad Muaz Azurahisham (SK Tanah Puteh, Kampung Tanah Puteh, Pahang).

Bicara Cilik Rasuah Busters 2023 Peringkat Kebangsaan membabitkan penyertaan 28 sekolah seluruh negara termasuk dari Sabah dan Sarawak (19 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah) mengetengahkan 58 pembentang cilik manakala 92 pendidik menjadi tulang belakang.

Antara tajuk yang dikupas dan dibentang oleh peserta ialah Kenali Rasuah dan Punca Rasuah; Cara-Cara Menangani Rasuah; Pandangan Agama Terhadap Amalan Rasuah; dan Apakah Rasuah Busters?