Baddrol jadi calon PN: Sanusi kata tunggu, bagi ada 'thrill'

Laporan Sinar Harian. (Kanan: Sanusi)
Laporan Sinar Harian. (Kanan: Sanusi)
A
A
A

BANDAR BAHARU - Desas-desus mengenai pemain kebangsaan dan bekas ketua pasukan bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar yang dikatakan bakal menjadi calon Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) akan terjawab pada 21 Julai ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, senarai calon yang akan ditampilkan di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu hanya akan diumumkan pada tarikh berkenaan.

Beliau bagaimanapun, meminta semua pihak menunggu sehingga pengumuman rasmi dibuat di Batu 9, Kompleks Pas Kedah untuk mengetahui calon yang disenaraikan bertanding dalam PRN nanti.

"Takkan nak terus 'jump' pi 'ending', bagi ada 'thrill' sikit, Pengerusi PN Kedah kan saya, jadi saya akan umum, yang pasti dalam senarai calon PN Kedah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tak ada," jelasnya dalam keadaan berseloroh.

Sanusi berkata demikian ketika ditanya tentang desas-desus sama ada Baddrol akan mewakili PN dalam PRN nanti.

Beliau bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Geran Tanah peringkat Daerah Bandar Baharu di sini pada Ahad.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Sabah FC yang mengumumkan pengunduran Baddrol sebagai kapten pasukan itu atas sebab yang akan diumumkan kemudian.

Difahamkan, pemain bola berusia 35 tahun itu didakwa akan menyertai arena politik tanah air dengan menjadi salah seorang calon bagi gabungan PN di Kedah dalam PRN akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN:

Baddrol bakal calon PN?

Baddrol masih berteka-teki hala tuju kariernya

Baddrol, Sabah FC berpisah

'Pemilihan Baddrol sebagai calon PN boleh tarik anak muda'