Baddrol, Sabah FC berpisah

Baddrol tidak lagi bersama Sabah FC.
Baddrol tidak lagi bersama Sabah FC.
A
A
A

SABAH FC mengumumkan Baddrol Bakhtiar tidak lagi bersama pasukan itu untuk baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Kelab itu dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dicapai melalui persetujuan bersama Baddrol atas sebab yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Beliau akan sentiasa menjadi legenda di Sabah FC. Segala komitmen, dedikasi, semangat dan motivasi yang diberikan sepanjang bermain bersama Sabah FC dan seterusnya menerajui Sabah ke AFC Cup 2023 akan sentiasa dikenang.

"Dengan keseluruhan 41 penampilan dan 13 gol, tempatnya dalam sejarah kelab akan sentiasa terjamin.

"Nama Baddrol Bakhtiar juga akan terpahat sebagai legenda arena bola sepak Malaysia," kata kenyataan itu.

Dalam masa sama, Sabah FC turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Baddrol dan mengalukan sekiranya pemain kelahiran Kedah itu mahu kembali menyarung jersi the Rhinos.

"Kami mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan kejayaan dalam apa jua bidang yang beliau ceburi.

"Kami sentiasa mengalu-alukan Baddrol Bakhtiar kembali ke Sabah FC sebagai keluarga pada masa hadapan," kata kenyataan itu.