Belia Selangor tak termakan kempen 3R

Mohd Khairuddin (kanan) merasmikan Himpunan Perpaduan Silat Melayu Se-Paya Jaras di Padang Awam Aman Putri pada Ahad.
Mohd Khairuddin (kanan) merasmikan Himpunan Perpaduan Silat Melayu Se-Paya Jaras di Padang Awam Aman Putri pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Golongan belia di Selangor peka dengan isu semasa dan tidak mudah terpengaruh dengan kempen 3R (raja, agama, kaum) yang dibawa pihak tertentu.

Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, pihaknya yakin undi anak muda di Selangor masih memihak kepada PH.

"Saya rasa semua orang tak boleh jangka undi orang muda tetapi jika lihat trend di Selangor kumpulan ini lebih berminat kepada kepimpinan yang bersikap terbuka.

"Kita ada buat kajian yang menunjukkan faktor agama tak begitu kuat sebagaimana faktor keterbukaan dan pengetahuan kepimpinan," katanya pada Ahad.

Beliau ditemui pada Himpunan Perpaduan Silat Melayu Se-Paya Jaras di Padang Awam Aman Putri yang membabitkan hampir 2,000 penyertaan pelbagai aliran perguruan termasuk Seni Silat Cekak, Silat Lincah, Silat Gayong dan Silat Abjad.

Beliau berkata, PH masih kuat dan relevan berdasarkan situasi dan pola undian terutama dalam kawasan bandar.

"Saya berandaian, orang muda di bandar lebih peka dan lebih tahu apa yang sedang berlaku dan mereka tahu ada yang menggunakan sentimen 3R untuk raih undi.

"Orang di Selangor khususnya belia tidak mudah termakan dengan isu begitu.

"Tambahan pula kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang jadikan isu 3R sebagai jenaka baru-baru ini," katanya.