Jangan letak sebarang hukuman pada keputusan pengundi - Razali

 Razali Idris
Razali Idris
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiada siapa boleh meletakkan sebarang hukuman terhadap keputusan pengundi memilih parti mana kerana mereka berhak menentukan siapa yang dipilih untuk membentuk kerajaan.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, pengundi bebas memilih dan menentukan parti mana yang akan dipangkah pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini dan ia merupakan terjemahan sebenar proses demokrasi di negara ini.

"Beliau (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga bekas UMNO. Ini soal parti politik. Sama ada orang itu orang UMNO, Bersatu atau Pas mereka berhak untuk menentukan siapa sahaja (calon) yang dipilih.

"Kalau kita kata orang tak undi kita satu pengkhianatan, maka proses demokrasi di negara kita akan menjadi sukar.

"Kita tidak boleh label kepada pengundi yang tidak undi kita sebagai satu pengkhianatan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Razali berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan bahawa tindakan ahli UMNO dan bekas ahli parti itu memberi undi kepada Perikatan Nasional (PN) sebagai satu pengkhiantan besar terhadap parti berkenaan.

Anwar berkata demikian ketika berucap sempena Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Guar Chempedak di Yan, Kedah pada Sabtu.

Menurut Razali, ucapan sedemikian tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang Perdana Menteri.

"Apa yang diucap menggambarkan kita berada di bawah kakistokrasi dan penuh dendam sedangkan sebelum ini beliau (Anwar) juga yang menentang UMNO dalam setiap ceramah dan kempen.

"Beliau (Anwar) menentang UMNO puluhan tahun dan beliau juga bekas UMNO sebelum berbaik dengan UMNO bagi membolehkan pembentukan Kerajaan Persekutuani. Sebelum itu beliau juga tidak senada dengan UMNO.

"Sebaliknya apa yang dikatakan dan berlaku sekarang ternyata berbeza selepas beliau 'berkawan' dengan UMNO," ujar Razali.

Dalam pada itu, Razali turut menyifatkan kenyataan itu sebagai tindakan terdesak bagi meraih sokongan golongan Melayu Islam pada PRN nanti.

"Mereka tiada sokongan Melayu Islam kerana orang Melayu Islam tak akan sokong lagi. Kita akan tolak pemimpin kakistokrasi," katanya.

Sebelum ini, Anwar mengingatkan ahli UMNO dan bekas ahli parti itu supaya tidak memberikan undi mereka kepada PN.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, tindakan ahli UMNO mahupun bekas ahli UMNO mengundi PN adalah satu pengkhianatan besar terhadap parti itu.