Stigma graduan TVET tidak diberi perhatian perlu diubah - Anwar

Anwar melawat pameran bekas pelajar TVET di Program Sentuhan Kasih Desa Pulau Pinang - Sesi Bual Bicara Komuniti TVET Bersama Perdana Menteri di Bertam pada Ahad.
Anwar melawat pameran bekas pelajar TVET di Program Sentuhan Kasih Desa Pulau Pinang - Sesi Bual Bicara Komuniti TVET Bersama Perdana Menteri di Bertam pada Ahad.
A
A
A

KEPALA BATAS - Stigma graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak diberi perhatian oleh majikan perlu diubah berikutan penekanan negara ketika ini sedang melangkah ke arah teknologi digital dan Revolusi Perindustrian (IR) 4.0.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu, wujud persepsi bahawa lulusan TVET tidak setaraf dengan lulusan diploma dan universiti menyebabkan pelajar lepasan sekolah tidak memilihnya untuk meneruskan pelajaran.

Menurutnya, TVET juga sering disalah erti apabila dijadikan pilihan kedua majikan selain kadar gaji lulusan bidang TVET adalah rendah dalam pasaran kerja tempatan.

"Jika diikutkan, minat ke arah TVET sudah berubah, sudah ramai sebab itu jumlahnya sekarang mencecah ratusan ribu. Tetapi mereka yang masuk TVET ini tidak semangat kerana dia fikir graduan TVET ini menjadi pilihan kedua oleh majikan selain tangga gaji yang rendah.

"Ini yang kita mahu ubah kerana negara kini memberi penekanan terhadap teknologi digital dan IR 4.0 yang memerlukan kepakaran daripada jurusan TVET," katanya pada Ahad.

Anwar berkata demikian ketika menghadiri program Sentuhan Kasih Desa Pulau Pinang - Sesi Bual Bicara Komuniti TVET Bersama Perdana Menteri di Bertam di sini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Tambah Anwar, pelajar TVET juga meningkatkan kemahiran sedia ada agar selari dengan permintaan industri.

"Bagi melahirkan graduan yang lebih berkemahiran, kita perlu menambah baik secara berterusan terhadap kurikulum latihan, meningkatkan kemahiran tenaga pengajar dan menyediakan fasiliti serta peralatan yang moden, seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

"Selain itu, pensyarah di institusi juga penting sekiranya kita mahu meningkatkan kemahiran dalam kalangan graduan TVET. Pensyarah memainkan peranan penting sekiranya mutu dan latihan akhir jurusan TVET mahu terus ditingkatkan pada masa depan.

"Oleh itu, kerajaan memutuskan untuk menyediakan dan menambah dana khas kepada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi menyediakan platform dalam melatih pensyarah-pensyarah TVET termasuk menjalin kerjasama dengan syarikat berprestasi tinggi seperti Petronas, Geely dan Proton," katanya.

Beliau menambah, kerajaan juga mensasarkan untuk membolehkan pekerja lulusan TVET menerima gaji bermula RM2,500.

"Sasaran kita adalah supaya lulusan TVET ini mampu menerima gaji mencecah antara RM2,500 dan RM3,000 sebulan berbanding antara RM1,800 hingga RM2,000 seperti yang diterima kebanyakan lulusan itu ketika ini.

"Jika kita mulakan dengan meningkatkan gaji yang sepatutnya diterima mereka, maka saya ingat minat generasi muda itu kepada jurusan TVET dengan sendirinya akan meningkat," katanya.

Anwar menjawab soalan daripada seorang peserta program itu mengenai bagaimana untuk meyakinkan generasi muda yang mana TVET merupakan laluan pendidikan tepat selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta bagaimana TVET mampu menarik minat pelajar sebagai pilihan untuk menyambung pengajian.

Tambah beliau, beberapa perubahan dalam kementerian yang terlibat perlu dibuat antaranya mengubah suai cara dan kaedah lama agar latihan TVET dapat memenuhi keperluan industri.

"Ia bagi membolehkan pihak industri juga seperti yang sebut tadi (Proton, Geely dan Petronas) boleh menyediakan latihan serta sijil seterusnya memastikan pekerjaan kepada lulusan TVET ini terjamin," katanya.