Kadar harga siling baik pulih, bina rumah baharu dinaikkan

Akmal Nasrullah (dua dari kiri) menandatangani plak bagi rumah baharu milik Zaini (kiri) di Kampung Tanjung Baru, Jalan PCB, Kota Bharu pada Ahad.
Akmal Nasrullah (dua dari kiri) menandatangani plak bagi rumah baharu milik Zaini (kiri) di Kampung Tanjung Baru, Jalan PCB, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan meluluskan peningkatan kadar harga siling bagi pelaksanaan Program Baik Pulih Rumah dan Program Bina Rumah Baharu di Bandar melalui Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) tahun depan.

Melalui inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu, timbalan menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kelulusan itu bertujuan meningkatkan kualiti hidup kumpulan sasar melalui penyediaan kediaman yang selesa dan selamat untuk dihuni.

Menurut beliau, langkah menambah baik itu dilakukan susulan maklum balas diterima berkaitan kos baik pulih dan bina rumah baharu tersebut memerlukan belanja lebih besar.

“Peruntukan sedia bagi baik pulih rumah maksimum dibelanjakan sehingga RM15,000 sebuah, maka diputuskan had harga siling kepada RM20,000 bermula tahun 2024.

“Bagi bina rumah baru, had harga siling sedia ada sehingga RM66,000 bagi Semenanjung Malaysia dan RM79,000 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan untuk sebuah rumah berkeluasan 61.3 meter persegi (m²) dan dinaikkan kepada RM85,000 dengan keluasan 69.7m²,” katanya selepas Lawatan Kerja ke Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bagi PPKB di rumah penerima, Zaini Abdullah di Kampung Tanjung Baru, Jalan PCB, di sini, pada Ahad.

Akmal Nasrullah (dua dari kanan) melihat rumah baharu daripada PPKB di negeri Kelantan pada Ahad.
Akmal Nasrullah (dua dari kanan) melihat rumah baharu daripada PPKB di negeri Kelantan pada Ahad.

Dalam lawatan tersebut, beliau meninjau pelaksanaan PPKB bagi tiga penerima Program Bina Baharu Rumah di Bandar berjumlah RM168,000 bagi tahun 2022 dan tiga penerima Program Baik Pulih Rumah di Bandar berjumlah RM45,000 bagi tahun 2023 di bawah MPKB-BRI.

Turut hadir, Pengarah Pembangunan Islam MPKB-BRI, Ropien Hassan.

Akmal Nasrullah berkata, daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM42 juta, sebanyak RM9.7 juta disalurkan kepada negeri Kelantan dengan jumlah penerima tertinggi sebanyak 643 yang mendapat manfaat daripada keseluruhan 2,562 penerima di seluruh negara.

“PKKB ialah satu usaha komited KPKT dalam membantu rakyat bagi menangani isu kemiskinan bandar.

“Program ini dilaksanakan tanpa mengira fahaman politik,” ujar beliau.