Johor sasar 30,000 rumah mampu milik

Onn Hafiz (belakang, tengah)bersama 15 penerima kunci Pangsapuri Senibong Indah, Tanjung Senibong, Masai pada Ahad.
Onn Hafiz (belakang, tengah)bersama 15 penerima kunci Pangsapuri Senibong Indah, Tanjung Senibong, Masai pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menyasarkan untuk mewujudkan sebanyak 30,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun dalam usaha menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi berkata, sasaran berkenaan dibuat setelah menyaksikan kerjasama yang baik antara pihak pemaju dan Perbananan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), selain permintaan tinggi dalam kalangan orang ramai.

"Hari ni (Ahad), saya gembira tengok apa yang diberikan keutamaan oleh pihak pemaju iaitu membina rumah mampu milik berbanding rumah mewah dan saya anggap ia patut dicontohi oleh pemaju-pemaju lain...dari segi kelancarannya, ya, bertambah baik kerana dibekalkan dengan fakta permintaan yang cukup tinggi.

"Bagi JB (Johor Bahru), saya tak risau sangat kerana pasarannya tinggi, cuma saya risau kalau tak cukup bagi kawasan-kawasan atau daerah-daerah luar bandar seperti Segamat, Batu Pahat, Mersing dan sebagainya.

"Saya yakin pihak PKPJ akan merangka kaedah terbaik untuk dilaksanakan di daerah-daerah yang berkenaan, insya-ALLAH," katanya.

Onn Hafiz berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (Jenis C) Tanjung Senibong di Pangsapuri Senibong Indah, Tanjung Senibong, Masai pada Ahad.

Onn Hafiz (kanan) memerhatikan kawasan sekitar Pangsapuri Senibong Indah dari salah satu unit di tingkat 13.
Onn Hafiz (kanan) memerhatikan kawasan sekitar Pangsapuri Senibong Indah dari salah satu unit di tingkat 13.

Pangsapuri berkenaan memiliki 222 unit dengan keluasan 1,003 kaki persegi selain dilengkapi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan dapur.

Sebelum ini, kerajaan negeri menyasarkan sejumlah 21,702 rumah mampu milik dapat diwujudkan dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, usaha mewujudkan pangsapuri atau rumah mampu milik sedemikian bakal mendorong orang ramai terutamanya yang bekerja di Singapura untuk menetap di negeri ini.

"Dari segi ramai rakyat Johor yang bekerja di Singapura...mereka tak berulang alik, tapi tinggal di Singapura.

"Tapi dengan aparment (pangsapuri) yang berpatutan seperti ini, mereka mahu menetap (di Johor)," katanya.