Bazar Jalan Raja lengang hari pertama

Jumlah peniaga belum ramai dan masih banyak petak belum diisi.
Jumlah peniaga belum ramai dan masih banyak petak belum diisi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bazar Ramadan Jalan Raja yang mula beroperasi hari masih lengang dengan peniaga yang masih gagal memenuhi petak-petak perniagaan disediakan.

Kehadiran pengunjung juga masih tidak begitu meriah berbanding lokasi tradisi di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Masjid India.

Perkara itu diakui oleh beberapa peniaga yang ditemui di bazar berkenaan yang mula beroperasi seawal jam 10 pagi hari ini.

Bagi peniaga baju Melayu, Elmy Magee, 29 dia bimbang tentang potensi perniagaan di tapak baharu itu melihat keadaan pada hari pertama yang kurang memberangsangkan berbanding operasi di Lorong TAR.

Menurutnya, sehingga jam 4 petang, baju Melayu yang dijual masih belum terjual disebabkan kekurangan pengunjung.

“Jika nak banding dengan hari pertama di Lorong TAR memang jauh beza. Waktu macam ni biasanya orang kata dah ‘pecah telur’ RM2,000 dah dapat.

“Nak harapkan pelancong tak semua datang beli. Masalah komunikasi juga menyebabkan urusan jadi sukar. Ada yang tak faham berbahasa Inggeris,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi peniaga jualan makanan kering, Fatin Ayu Eleena Azlan, 21 turut senada kerana jualan masih kurang RM100 pada hari pertama.

Artikel Berkaitan:

Masih ada peniaga yang melakukan persediaan.
Masih ada peniaga yang melakukan persediaan.

“Biasanya hari pertama memang tak ramai dan jualan tak banyak. Tapi berbanding tapak lama, sekurang-kurangnya ada juga yang datang di kawasan pernigaan itu dari kalangan pekerja,” katanya.

Bagaimanapun terdapat juga peniaga yang optimis melihat potensi perniagaan di situ dan mengambil keputusan untuk sabar kerana masih awal.

Peniaga baju kanak-kanak, Muhammad Saiffudin Abdul Rashid, 25 berkata, masih terlalu awal untuk dia menilai potensi perniagaan di situ memandangkan hari pertama operasi adalah hari bekerja.

Katanya, dia berpuas hati dari segi kemudahan yang disediakan DBKL yang lebih selesa.

“Buat masa ini saya hanya positif sebab masih awal. Cuma dari segi juadah yang tidak dijual di sini menyukarkan kami peniaga untuk berbuka puasa. Pengunjung juga mungkin akan alami masalah sama nanti,” katanya.

Peniaga makanan kering, Nur Safidatul ani Mat Nasir, 30 juga mengambil sikap positif dan menyifatkan pembaharuan yang dilakukan DBKL dari segi menyediakan kemudahan lebih selesa adalah langkah yang wajar.

“Tempat lebih selesa dan tak sempit. Untuk pengunjung saya rasa lokasi ini sudah bagus. Dari segi jualan, saya positif saja kerana perkara baharu. Dalam masa sama jika DBKL dapat sediakan 'foodtruck' untuk juadah lebih baik demi menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Bazar Ramadan Jalan Raja terdiri daripada 344 petak dan sempena operasi perniagaan itu, DBKL mengambil langkah menutup sebahagian laluan Jalan Raja kepada kenderaan dan dijadikan laluan sehala secara berjadual.

Laluan hanya dibuka kepada kenderaan dari Jalan Sultan Hishamuddin ke Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut bermula jam 12.01 pagi hingga 1 petang.

Manakala laluan sebaliknya dari Jalan Tun Perak ke Jalan Sultan Hishamuddin dibuka bermula jam 1.01 petang hingga 12 malam.

Anggota trafik warden DBKL mengawal lalu lintas di persimpangan Lebuh Pasar.
Anggota trafik warden DBKL mengawal lalu lintas di persimpangan Lebuh Pasar.