Hanya lima peratus bukan bumiputera sertai tentera

Kaum-kaum lain diharap menyertai pasukan keselamatan itu kerana kira-kira 6,000 kekosongan jawatan pelbagai peringkat ditawarkan setiap tahun.- Foto Bernama
Kaum-kaum lain diharap menyertai pasukan keselamatan itu kerana kira-kira 6,000 kekosongan jawatan pelbagai peringkat ditawarkan setiap tahun.- Foto Bernama
A
A
A

REMBAU - [DIKEMAS KINI] Hanya lima peratus kaum bukan bumiputera yang berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, pihaknya mengharapkan lebih ramai kaum-kaum lain menyertai pasukan keselamatan itu kerana kira-kira 6,000 kekosongan jawatan pelbagai peringkat ditawarkan setiap tahun.

"Baru-baru ini Panglima Angkatan Tentera sendiri bercakap, kita akan buat 'roadshow' untuk kita buka peluang kemasukan ke perkhidmatan ATM terutama yang bukan bumiputera.

"Tidak sampai lima peratus (bukan bumiputera). Itu sebabnya saya minta uar-uarkan untuk pastikan lebih ramai lagi golongan bukan Bumiputera untuk masuk perkhidmatan ATM," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kerjaya Belia Parlimen Rembau di sini pada Sabtu.

Menurutnya, mereka seharusnya mengambil peluang itu kerana gaji anggota tentera yang ditawarkan hari ini agak baik selain terdapat banyak kemudahan yang disediakan.

Tambahnya, ketika ini juga tiada isu anggota atau pegawai untuk melanjutkan pelajaran dan mengembangkan karier masing-masing kerana jawatan di agensi itu bukan hanya berdasarkan fizikal semata-mata.

"Sambutannya kurang memuaskan (daripada bukan bumiputera). Saya tidak tahu apa sebab, kalau nak katakan tiada peluang untuk mereka buat lanjutan dalam pelajaran, ATM mempunyai banyak skim yang mana pegawai boleh melanjutkan pelajaran.

"Sekarang ini kita lihat pegawai tentera kita ada master (sarjana) sudah biasa...ada yang PHD (doktor falsafah) dan macam- macam. Sekurang-kurangnya mereka mahu naik pangkat mesti ada diploma atau ijazah dalam bidang masing-masing," katanya.

Malah ujarnya, bukan sahaja anggota ATM di negara ini, tetapi 20 hingga 30 negara luar turut menghantar pegawai masing-masing untuk belajar di Malaysia.

Jelasnya, terdapat beberapa institut yang memberi ruang untuk menyambung pengajian seperti Universiti Teknologi Pertahanan Malaysia (UPNM), Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) dan Kolej Pertahanan Negara.

Sementara itu berkenaan karnival kerjaya diadakan beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, karnival kerjaya seperti itu akan diadakan setiap tahun di Negeri Sembilan khususnya di Rembau sebagai platform untuk golongan belia mencari pekerjaan.

"Saya berjumpa dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) baru-baru ini dan dimaklumkan beribu kekosongan jawatan wujud. Untuk akan datang saya akan membawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk di bawah Kementerian Pertahanan sendiri untuk menyertai karnival ini.

"Di bawah Kementerian Pertahanan banyak lagi bahagian, jabatan atau syarikat yang mempunyai jawatan kosong," katanya.