Situasi di Myanmar, Palestin makin membimbangkan - Zambry

Zambry - Gambar fail Bernama
Zambry - Gambar fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa Myanmar dan rejim Zionis atas kezaliman berterusan yang dilakukan ketika ini.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, situasi di kedua-dua wilayah itu semakin membimbangkan dengan pembunuhan terus menerus berlaku dan perlu dihentikan serta merta.

“Situasi di Myanmar semakin membimbangkan. Serangan udara dan laporan-laporan berkaitan pembunuhan terus-menerus berlaku meskipun pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan oleh ASEAN.

“ASEAN harus mengambil pendirian mengutuk sekerasnya tindakan-tindakan sebegini dan bukan sekadar menyatakan keprihatinannya,” jelasnya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Jelas Zambry, beliau telah mengusulkan supaya kenyataan lebih keras mengenai isu itu dimasukkan dalam Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN Ke-56 (Joint Communique of the 56th AMM).

“Usaha bagi menangani situasi di Myanmar tidak seharusnya dilaksanakan secara sepihak (unilateral).

“Sebaliknya ia perlu berlandaskan Five-Point Consensus (5PC), menerusi penyelarasan dengan Pengerusi ASEAN dan dipersetujui oleh ASEAN.

“Saya telah menekankan bahawa sebarang sesi libat urus yang diadakan dengan pihak Myanmar tidak harus membawa maksud bahawa ASEAN mengiktiraf keabsahan (legitimacy) pihak berkuasa Myanmar,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai situasi di Palestin pula tegas Zambry, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa perlu menuntut rejim Israel untuk menghentikan kekejaman terhadap penduduk Palestin.

Malah rakan-rakan ASEAN juga ujarnya, diminta memberi perhatian akan konflik di Palestin itu.

“Kekejaman terhadap rakyat Palestin harus dihentikan serta merta. Saya telah mengecam sekeras-kerasnya serangan udara oleh rejim Israel di Jenin, Tebing Barat.

“Saya menyeru kepada rakan luar ASEAN terutamanya kuasa-kuasa besar supaya konflik di Palestin diberikan perhatian yang sama seperti konflik- konflik lain yang sedang berlaku di dunia ini,” katanya.

Malah tindakan negara-negara tertentu dilihat bersikap diskriminatif apabila hanya mengecam konflik di negara lain.

Bagaimanapun katanya, kezaliman rejim Israel terhadap rakyat Palestin terus dilindungi.

“Ini satu sikap diskriminatif negara-negara tertentu yang kerap mengecam konflik di negara lain tetapi terus melindungi rejim Israel.

“Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa untuk menuntut rejim Israel menghentikan jenayah kemanusiaan yang kejam serta dasar apartheid terhadap rakyat Palestin demi kepentingan keamanan dan kestabilan,” katanya lagi. - Awani