Polis siasat batu tertera ayat al-Quran jadi pelapik tidur anjing

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Polis sedang menyiasat mengenai tiga gambar tular di Facebook yang memaparkan dua batu tertera ayat al-Quran dijadikan pelapik tempat anjing tidur.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, gambar tersebut dikesan telah ditularkan pada 13 Julai.

Menurutnya, pihak polis menjalankan siasatan selepas menerima laporan daripada seorang lelaki pada Jumaat yang mendakwa melihat satu hantaran TikTok daripada akaun isterinya berkenaan gambar sama.

"Hasil semakan mendapati kejadian tersebut berlaku di sebuah premis perniagaan barangan perkakasan di kawasan Telok Ayer Tawar, Seberang Perai Utara.

"Lelaki itu tidak mengenali pemilik akaun tersebut dan tujuan dia membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan pemilik premis tersebut, seolah-olah tidak menghormati agama Islam," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Tambah Mohd Asri, susulan daripada itu, polis telah menghubungi pengendali Facebook Kementerian Netizen Malaysia untuk memadamkan hantaran tersebut.

"Selain itu, kita juga telah memanggil pemilik premis perkakasan dan pemilik akaun Tiktok untuk hadir ke Ibupejabat Polis Daerah SPU untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Kita juga telah ke lokasi yang telah ditularkan dan mendapati dua biji batu bertulisan Jawi sudah tiada di situ.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan/Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Beliau turut menasihati orang awam supaya memadam gambar yang ditularkan bagi menjaga sensitiviti agama Islam dan mengelak kejadian tidak diingini.

"Masyarakat dinasihatkan untuk tidak terus menularkan gambar kejadian berkenaan kerana bimbang akan menimbulkan kegelisahan dan kegusaran awam," katanya.