Isu 3R: Akta baharu perlu mendidik bukan menghukum - Peguam

Khairul Anwar
Khairul Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dalam memperkatakan cadangan kerajaan untuk mewujudkan satu akta baharu bagi menghukum pihak yang mempermainkan isu 3R (agama, raja dan kaum), beberapa peguam yang ditemui secara umumnya senada, bahawa akta itu perlu bersifat mendidik dan bukan hanya bersifat menghukum semata-mata.

Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, akta itu seharusnya menggariskan tatacara hidup bernegara yang bertujuan untuk mendekati serta mendidik masyarakat supaya saling memahami, menghargai dan belajar hidup bersama.

"Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama serta Institusi Beraja sebagai tiang serinya, memerlukan peruntukan undang-undang yang bukan sahaja bersifat ‘punitive’ (menghukum) tetapi juga bersifat ‘educational’ (mendidik).

"Justeru, akta yang ingin dicadangkan oleh kerajaan seharusnya menjadi benteng kepada negara untuk mengelak persengketaan sesama kaum dan agama,” kata peguam itu ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Katanya, di bawah akta baharu itu kerajaan boleh menyelesaikan kesalahan membabitkan isu 3R secara lebih pantas dan berkesan berbanding mengguna pakai Akta Hasutan atau Kanun Keseksaan.

Khairul Anwar berkata, selain hukuman denda, pelaku kesalahan 3R mungkin boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat dan menduduki modul khas ketatanegaraan.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, akta baharu yang mungkin dinamakan Akta Negara dan Bangsa itu adalah berfungsi seperti Akta Keharmonian Kaum di Singapura, tetapi dalam konteks Malaysia.

Beliau berkata, pandangan bagi mewujudkan akta baharu sudahpun dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan mendapat respons yang positif.

Sementara itu, peguam Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak berkata, cadangan mewujudkan akta baharu itu dilihat dapat membantu mengawal isu-isu sensitif khususnya dalam hak kebebasan bersuara di negara ini.

Katanya, jika tiada pengawalan dalam undang-undang berhubung isu 3R ini, mana-mana pihak bebas mempermainkan isu-isu berkenaan demi memenuhi matlamat masing-masing.

Seorang lagi peguam, Fahmi Abd Moin pula berkata, kerajaan harus lebih proaktif dan tegas dalam menggunakan undang-undang sedia ada tanpa ada rasa 'takut atau pilih kasih' dalam menangani isu-isu 3R ini, tanpa mengkira individu yang terlibat sama ada dalam kalangan ahli politik, menteri atau masyarakat.

"Kita mempunyai Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang jelas mempunyai seksyen-seksyen spesifik untuk membawa mana-mana individu ke mahkamah dan sekiranya terdapat bukti jelas pelanggaran di dalam kesalahan berkaitan 3R ini," kata peguam itu.

Berkongsi pendapat sama, peguam Datuk Geethan Ram Vincent berkata, undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan adalah memadai dan ia perlu dikuat kuasa terhadap pelaku tanpa mengira pangkat.

"Sesiapa sahaja yang membuat kenyataan 3R yang berbaur hasutan perlu diambil tindakan termasuk ahli politik atau mana-mana individu sekalipun. Selain itu, hukuman setimpal perlu dijatuhkan agar ia menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak melakukan kesalahan sama," katanya. - Bernama