STPM: Perak rekod peningkatan, 108 capai 4.00

Mohamad Fauzi menunjukkan ringkasan pencapaian STPM 2022 bagi negeri Perak pada Khamis.
Mohamad Fauzi menunjukkan ringkasan pencapaian STPM 2022 bagi negeri Perak pada Khamis.
A
A
A

PARIT - Perak merekodkan peningkatan jumlah pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan 108 orang memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00.

Pengarah Pendidikan negeri, Mohamad Fauzi Mahson berkata, jumlah itu meningkat 34 orang iaitu 0.96 peratus berbanding 74 calon dalam STPM 2021.

Menurutnya, pelajar yang memperoleh PNGK antara 3.00 ke 4.00 pula seramai 1,381 calon dengan rekod keseluruhan pelajar mendapat keputusan baik adalah 40.37 peratus.

"Seramai 3,421 calon sekolah kerajaan hadir menduduki peperiksaan STPM 2022 di 55 pusat seluruh negeri.

"Walaupun berlaku sedikit penurunan PNGK sebanyak 0.03 mata iaitu 2.75, namun secara keseluruhan masih menunjukkan peningkatan kualiti yang baik dengan 30 sekolah mencapai keputusan lulus 100 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar dekat sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Naib Cancelor UTP, Profesor Madya Dr Ibrahim Abdul Mutalib.

Mohamad Fauzi berkata, peningkatan juga dicapai peratusan calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran daripada 3,337 orang pada 2021 kepada 3,357 calon.

"Manakala 63 orang atau 1.84 peratus lulus sebahagian dan 0.03 peratus atau seorang calon gagal," katanya.

Antara sekolah yang merekodkan keputusan cemerlang termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tasek yang merekodkan 12 calon memperoleh PNGK 4.0 diikuti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet (7), SMK St. Michael (6) dan SMK Methodist (4).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!